Rencana

Jalan keselamatan bagi Muslim – Oleh Zairil Khir Johari

ISLAM dan kebebasan adalah dua kata yang tidak terpisahkan, meskipun kesimpulan ini tidak begitu nyata berdasarkan kelakuan ramai Muslim di serata dunia, khususnya mereka yang menguar-uarkan diri sebagai pejuang agama.

Apabila Nabi Muhammad memperkenalkan Islam pada abad ke-7, baginda bukan sahaja membawa kepercayaan baru. Malah baginda menggerakkan reformasi moral dan sosial yang menyeluruh dalam masyarakat Arab. Kedatangan Islam pada ketika itu umpama cahaya yang menyalakan kegelapan penghambaan, pembunuhan anak perempuan serta ketidakadilan sosial.

Pada kemuncak Zaman Kegemilangan Islam dari abad ke-8 hingga 13, dunia Arab berubah daripada masyarakat yang buta huruf dan sering berperang menjadi masyarakat yang mencapai kemasyhuran dalam bidang matematik, sains hayat, falsafah dan budaya.

Sifat utama zaman itu adalah keterangkuman, sepertimana dilambangkan dalam penubuhan Baitul-Hikmat di Baghdad, di mana cendekia tidak kira Muslim atau bukan Muslim berkumpul untuk bertukar pendapat dan menimba ilmu. Dengan seruan ijtihad sebagai pedoman, matlamat kesarjanaan pada waktu itu adalah perkembangan dan keterangkuman, bukan pengunduran dan pemulauan. Tidak ada usaha untuk menidakkan ilmu tamadun lain, atau melabelkan sesuatu ilmu sebagai kepunyaan Islam semata-mata dan tidak boleh digunakan oleh bukan Muslim. Sebaliknya, ilmu dipupuk, dikumpul dan dikongsi bersama.

Malangnya, tamadun Islam sudah jauh kecundang. Kini, negara Islam di serata dunia sering dikaitkan dengan rejim autoritarian, kesenjangan pendapatan yang meluas serta penindasan hak asasi dan kebebasan awam – sesuatu yang sungguh ironis memandangkan Islam itu agama yang menjanjikan kebebasan dan pencerahan.

Pemikiran Melayu-Islam progresif

Di negara kita, wacana Islam kontemporari tampak lebih dikuasai oleh suara lantang seperti Harussani dan Ridhuan Tee. Namun begitu, sikap jumud dan agresif mereka sebenarnya mengaburi sejarah kita yang penuh dengan pejuang kebebasan dan pemikir Muslim yang hebat.

Pada saat negara kita kalut dengan polemik kalimah Allah dan masyarakat senantiasa dimomokkan dengan ancaman Kristian, tidak ramai yang sedar bahawa terjemahan The New Testament dalam bahasa Melayu bukanlah perkara baru tetapi sesuatu yang sudah wujud sejak tahun 1800an lagi.

Malahan, antara terjemahan Bible dalam bahasa Melayu yang pertama, yang dinamakan penulisnya sebagai Kitab Injil al-Kudus, telah dibuat oleh Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, iaitu Abdullah Abdul Kadir yang lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah. Jika beliau menerbitkan buku itu pada hari ini, sudah tentu beliau akan difatwakan sebagai murtad, menjadi mangsa demonstrasi Perkasa, dikecam sebagai pengikut DAP dan didakwa dengan akta hasutan.

Hakikatnya, Munshi Abdullah bukan sahaja membaca Bible, beliau telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, beliau tidak hilang keyakinannya atau menyebabkan orang murtad secara beramai-ramai, sepertimana yang dikhuatiri pihak berkuasa pada hari ini. Sebaliknya, Munshi Abdullah merupakan seorang pemikir Muslim yang utuh akidahnya, berwawasan jauh serta berani menongkah arus sosial sedia ada.

Dalam nukilannya, beliau sering merayu agar rakyat jelata membuang ketaksuban mereka terhadap golongan bangsawan yang sekian lama menindas mereka. Dalam Hikayat Pelayaran Abdullah, sebagai contoh, beliau menulis: “Apabila seseorang itu dijadikan Allah ia raja, bukan untuk memuaskan nafsunya dan berbini 10 atau 20 atau mencari harta dan membunuh orang dengan aniayanya, melainkan disuruh Allah memelihara manusia….”

Munshi Abdullah berpendapat bahawa masyarakat Melayu tidak boleh maju melainkan mereka menganuti nilai moden serta berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar (tiada percanggahan yang dilihatnya dalam usaha ini). Lebih penting lagi, masyarakat Melayu juga hendaklah melepaskan diri daripada cengkaman feudalisme yang tidak rasional.

Pada ketika itu, Munshi Abdullah boleh dikatakan mendahului zamannya. Dua ratus tahun kemudian, di negara Malaysia yang merdeka dan moden, beliau masih lagi boleh dikatakan jauh mendahului zaman.

Seorang lagi pemikir Melayu yang bersemangat reformasi adalah Pendeta Za’aba (nama sebenar Zainal Abidin Ahmad). Dalam karyanya, Za’aba suka mengangkat tema kebebasan. Sebagai contoh, dalam rencana Jalan Keselamatan Bagi orang Melayu, Za’aba menegaskan bahawa “keselamatan orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai yang kekurangan itu boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu – yakni kemiskinan pengetahuannya – dengan jalan diberi mereka itu pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah, dan di situlah sahaja boleh didapati keselamatan ini, tiada pada lainnya.”

Zaa’ba dengan cermat menghubungkan kemiskinan dengan kemampuan untuk menggunakan akal. Oleh itu, satu-satunya jalan keselamatan bagi orang Melayu adalah dengan membebaskan diri daripada jerat kemiskinan melalui pemikiran kritis dan usaha menimba ilmu.

Pada masa yang sama, terdapat juga cendekiawan Melayu-Muslim yang menerajui perjuangan hak wanita. Pada tahun 1920an, penulis seperti Syed Sheikh al-Hadi dan Ahmad Rashid Talu – kebetulan kedua-duanya bertapak di Pulau Pinang – telah membangkitkan isu kemandirian serta hak wanita untuk mendapat pendidikan. Melalui tinta mereka, watak wanita utama dalam Hikayat Faridah Hanum (al-Hadi) dan Iakah Salmah? (Talu) menjadi watak yang dinamik, progresif dan moden – ciri-ciri yang bertentangan dengan norma masyarakat zaman itu.

Kebebasan

Sejak kedatangan Islam, soal kebebasan itu sentiasa menjadi satu daripada isu utama dalam wacana Muslim. Perkara ini juga terbukti benar dalam sejarah negara kita, seperti yang boleh dilihat dalam karya Abdullah, Za’aba, al-Hadi, Talu dan lain-lain lagi, yang selalu mengajak masyarakat untuk mengejar ilmu, berfikir secara waras serta mencari kebebasan rohani.

Kini, nilai tersebut diancam. Kancah umum seolah-olah didominasi oleh ekstremisme, ketaksuban dan kejumudan, didorong pula oleh pihak berkuasa yang hanya tahu mengharamkan apa-apa sahaja yang tidak dapat dikawal atau difahaminya. Sepertimana pernah diluahkan oleh Martin Luther King Jr: “Tiada yang lebih berbahaya dalam dunia ini selain sifat ikhlas terbit daripada kejahilan dan sifat cermat yang terbit daripada kebodohan.”

Dalam pada itu, ancaman sebenar yang dihadapi ummah bukanlah segelintir orang jahil dan pentaksub, tetapi kejahilan yang meluas dalam kalangan masyarakat kita. Kejahilan inilah yang harus dicabar dan ditanggapi sekiranya kita ingin keluar daripada perigi buta yang membinasakan.

Teguran Za’aba harus diberi perhatian yang sewajarnya – sesungguhnya jalan keselamatan Muslim adalah jalan ilmu, pencerahan dan pembebasan daripada kejahilan. – Roketkini.com