Berita

Malaysia perlu lantik Menteri Kewangan tunggal sepenuh masa – Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong mahu kerajaan mengembalikan semula kedudukan Menteri Kewangan sebagai jawatan tunggal ‘sepenuh masa’, tidak lagi diletak di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sudah tiba masanya jawatan itu diasingkan berdasarkan perkembangan politik semasa dan akan datang, dalam atau luar negara yang boleh mengancam ekonomi Malaysia.

Tegasnya, ia juga merupakan amalan yang tidak sihat untuk terus meletakkan portfolio penting itu di bawah Perdana Menteri.

“Satu masa nanti, ekonomi Malaysia mungkin menghadapi cabaran yang sangat berbahaya seperti potensi kelembapan, kesan ketirisan daripada kelonggaran kuantitatif dan potensi gelembung hartanah.

“Jadi, amalan sekarang Perdana Menteri juga selaku Menteri Kewangan adalah satu trend yang tidak sihat bagi ekonomi negara.

“Pasukan pentadbir ekonomi yang kompleks dan berpecah-belah juga adalah isyarat jelas bahawa kita meletakkan individu salah untuk menerajui Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu sekali lagi menegaskan, penyerahan delegasi tugas oleh Menteri Kewangan kepada personaliti daripada pelbagai kementerian jelas akan mewujudkan risiko serta kecelaruan kerana terlalu banyak di antara mereka yang bertindak untuk merangka ekonomi.

Beliau berkata, contohnya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengetuai Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup, pada hal ia sepatutnya diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Menurut Chin Tong, Unit Pemandu kini dimasukkan ke dalam Unit Perancang Ekonomi dan Perbendaharaan sebagai jurucakap utama kerajaan berkaitan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Masanya sudah tiba kerajaan mempunyai Menteri Kewangan sepenuh masa supaya negara dapat melaksanakan atau membuat dasar kewangan dan ekonomi yang waras dan koheren.

Jawatan Menteri Kewangan tunggal hanya pernah disandang Tengku Razaleigh Hamzah antara 1976 hingga 1984, Tun Daim Zainuddin (1984-1991) serta pelantikan kali kedua antara 1999 dan 2001.

Kedudukan Menteri Kewangan secara tradisional bermula sejak 1998 yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Amalan ini kemudiannya dikekalkan hingga sekarang apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Mahathir dan diteruskan Najib pada 2009.-Roketkini.com