Berita

Dedah kandungan MoU air Selangor kepada rakyat – Charles Santiago

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Penyelaras Badan Membantah Penswastaan Air (CAWP) merangkap Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago mendesak kerajaan Pusat mendedahkan kandungan Perjanjian Persefahaman (MoU) penstrukturan semula air Selangor kepada rakyat.

Beliau berkata, ia kerana analisis di media dan komentar orang awam menunjukkan ramai yang keliru dengan MoU berkenaan.

“Selepas lima hari MoU dimeterai, rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor masih belum diterangkan mengenai apakah yang dipertaruhkan, apa yang dipersetujui dan paling penting, implikasi kos yang bakal dihadapi.

“Demi prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti, saya meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili mendedahkan MoU itu kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan.

MoU itu ditandatangani Ongkili sebagai wakil kerajaan Pusat dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 26 Februari lalu.

Beliau turut memaklumkan telah menghantar surat kepada Ongkili berhubung permintaannya itu.

“(Dalam surat itu) Saya juga minta Menteri jelaskan sama ada MoU itu tertakluk dalam Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya lagi. -Roketkini.com