Berita

Penstrukturan semula air: Pemimpin Pakatan Rakyat setuju, pastikan beri pulangan terbaik kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong penstrukturan semula industri air Selangor dan akan memastikan ia akan memberi pulangan terbaik kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Ketua Umum PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden semalam, selepas taklimat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu itu.

“Abdul Khalid memberi penjelasan kepada pemimpin tertinggi komponen Pakatan Rakayt; Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS); Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) dan saya sendiri.

“Usai mesyuarat, kita sebulat suara menyatakan sokongan pada dasarnya kepada usaha Abdul Khalid untuk menstruktur semula industri air Selangor. Kita juga memberi nasihat dan pandangan bagi mempastikan proses ini memberi pulangan terbaik kepada kerajaan negeri dan rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada mesyuaratnya 5 Mac lalu meminta Abdul Khalid menjelaskan isu itu sebelum menandatangani perjanjian awal – susulan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan kerajaan Pusat, 26 Februari lalu.

Kata Anwar lagi, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat juga menetapkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, untuk memberi maklum balas berterusan kepada kerajaan negeri.

“Satu persetujuan juga dicapai membabitkan pakar perundangan, Tommy Thomas sebagai wakil bebas mewakili rakyat negeri, bagi memastikan perjanjian yang kukuh di sisi undang-undang untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor.

“Mereka akan bertanggungjawab bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan penstrukturan air, termasuk menyemak dan memberi maklum balas kepada perjanjian yang bakal ditandatangani di dalam isu ini,” katanya lagi. -Roketkini.com