Rencana

Impian menjadi kenyataan – Rh Bujang Ulu Wak Pakan oleh Rinda Alexander

“Impian kami selama ini untuk memiliki paip air sudah menjadi kenyataan dengan adanya projek Impian Sarawak” begitulah kata seorang daripada penghuni Rh Bujang yang menyentuh perasaan saya. Apa yang sudah lama mereka impikan kini termakbur dengan adanya satu program yang dinamakan “Impian Sarawak”.

Pertama kali saya menjejak kaki di Pakan yang terletak di wilayah Tengah Sarawak saya merasakan Pakan masih jauh ketinggalan daripada segi kemudahan asas dan infrastruktur berbanding kawasan lain. Saya merasa sangat terharu dengan kehidupan masyarakat yang menghuni di Pakan.

Pada September 2013, saya berserta AJK Protem DAP Pakan yang lain sampai ke Rh Bujang, di Ulu Wak Pakan, dan pada masa itu saya merasakan mereka sangat ketinggalan daripada segi kemudahan asas seperti jalan raya dan bekalan air.

Setelah itu saya menghubungi Impian Sarawak berkenaan keadaan Rh Bujang yang terpaksa menjalani kehidupan tanpa air ketika musim kemarau.

Pemohonan mereka kepada kerajaan sekian lama tidak dibalas walaupun sudah tiga tuai rumah sudah berganti sejak permohonan dibuat.

Pada mulanya saya mencadangkan kepada Impian Sarawak bahawa dua rumah panjang berdekatan iaitu Rh Bujang dan Rh Jantan sangat memerlukan kemudahan asas berkenaan dan dengan rasa gembiranya saya mendapati Impian Sarawak mempersetujui cadangan saya itu.

Saya pun dengan gembiranya menyebarkan berita itu kepada mereka. Namun tanpa disangka seminggu sebelum projek itu bermula, Rh Jantan menolak bantuan ikhlas daripada kami. Sebab penolakan itu menjadi sangat ketara dan nyata apabila saya bersama Pengarah program Impian Sarawak, saudari Kar Lye Tam dan Pengarah Sukarelawan, saudari Ching Wei Lee tiba di Rh Bujang tiga hari sebelum permulaan projek. Kerajaan akhirnya menyedari permasalahan rakyat.

Bahan yang “cukup untuk membina sebuah kolam renang” sudah dihantar, namun bahan pembinaan yang banyak itu hanya untuk Rh Jantan sahaja. Rh Bujang yang hanya 100 meter berdekatan tidak mendapat satu beg simen atau satu batang paip pun. Penghuni Rh Bujang sangat berkecil hati kerana dipinggirkan seperti itu.

Pada 15 Februari 2014 sekali lagi saya datang ke Rh Bujang, dan kali ini saya datang bukan dengan tangan kosong. Saya datang bersama dua orang Pengarah program Impian Sarawak iaitu saudara Zi Xiang Chan dan saudari Kar Lye Tam, saya juga datang bersama 13 sukarelawan dari Semenajung Malaysia dan Sarawak yang datang bersama-sama membantu untuk menyiapkan projek paip graviti sepanjang 1,200 meter.

Setibanya di sana, kami disambut dan dilayan dengan sangat baik oleh penghuni Rh Bujang, kami dianggap “anak” oleh mereka. Selama di sana, kami menjalani kehidupan seperti bersama dengan keluarga sendiri iaitu tinggal bersama, bekerja bersama, makan dan minum pun bersama.

Sukarelawan dan penghuni Rh Bujang bergotong-royong menyiapkan projek itu. Projek ini adalah projek pertama Impian Sarawak bagi tahun 2014, ia merupakan projek pertama Impian Sarawak di Wilayah Tengah Sarawak dan ia juga projek pertama bagi rumah panjang kaum Iban.

Antara kerja yang dilakukan adalah menarik paip, mengangkut simen, paip, mencampurkan simen dengan teknik orang tempatan iaitu menggunakan kain kanvas, menyambung paip dan banyak lagi. Semua perkerjaan itu kami lakukan bersama.

Projek air graviti Ulu Wak Pakan dapat disiapkan sebelum perasmian. Upacara perasmian akan diadakan pada 21 Februari 2014 sememangnya disambut dengan penuh semangat dan meriah.

Antara tetamu kehormat yang turut menghadiri upacara perasmian itu termasuk Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau; ADUN Repok, Dr Wong Hua Seh dan ADUN Damansara Utama Selangor, Yeo Bee Yin.

Pada perasmian itu, Tuai Rumah Bujang telah menyuarakan isi hatinya, beliau sangat berterima kasih kepada Impian Sarawak dan sukarelawan di atas sumbangan dan bantuan yang diberikan.

Selama ini penghuni rumah panjang dipinggirkan daripada arus pembangunan dan hidup tanpa kemudahan asas yang wajib terutamanya bekalan air yang konsisten.

Sekarang saya mampu menarik nafas lega apabila melihat riak wajah gembira mereka yang sudah mendapat bekalan air daripada projek Impian Sarawak.

Walaupun mereka masih tidak mendapat jalan raya yang bagus untuk menghubungkan mereka dengan dunia luar sekurang-kurangnya mereka sudah mempunyai bekalan air yang cukup dengan adanya dana yang terhad daripada program Impian Sarawak.

Terima kasih tidak terhingga kepada Impian Sarawak kerana mampu memberi harapan baru dan menjadikan satu impian penghuni Rh Bujang kenyataan dengan hanya tiga bulan daripada lawatan pertama sampailah pada hari perasmian.

Terima kasih juga kepada penghuni Rh Bujang kerana sungguh “berani” menerima projek yang dianjurkan Impian Sarawak dan DAP Pakan, justeru membuka mata anak-anak muda supaya lebih menghargai nikmat yang diberikan untuk memperjuangkan nasib rakyat Sarawak.

“Hidup umpama roller coaster” sebagai manusia kita sendiri yang harus menentukan di mana ia terhenti, jangan takut untuk melakukan perubahan kerjasama dan hati yang tulus ikhlas akan dapat merealisasikan Impian Sarawak menjadi Impian Malaysia. Salam UBAH!.-Roketkini.com