Rencana

Tiga catatan politik hardcore Oleh Aedi Asri

‘Cah keting’ dalam Langkah Kajang

Keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya membuatkan ‘Langkah Kajang’ jadi tempang – tersasar daripada matlamat asal.

Seakan kena bentes, atau disebut orang Pantai Timur sebagai ‘cah keting’. Ini permainan sepak-menyepak betis lawan, sehingga lawan hilang imbang dan jatuh tersungkur.

Asal mula Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang diadakan adalah didakwa untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor (Ok ok, sebagai Adun untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri).

Dengan hilangnya kelayakan Anwar untuk bertanding, matlamat itu tidak mungkin tercapai lagi. Walau siapa pun yang mengganti, ia tentulah tidak sama.

Jika kegagalan ‘Langkah 16 September’ beberapa tahun lalu tidak memberi pelajaran, Keputusan Mahkamah 7 Mac lalu bolehlah membuang sebarang keraguan dalam fikiran kita – Umno-BN sememangnya memiliki otak yang licik.

Jika tidak, masakan mereka boleh mematahkan dua langkah penting Pakatan. Kuasa membantu, tetapi ternyata tidak cukup. Lihatlah apa yang berlaku di Selangor (dan Kedah dan Terengganu sebelumnya).

Boleh sahaja beri sebab bahawa kuasa peringkat negeri tidak sebesar di peringkat persekutuan. Tetapi ciri-ciri ‘bijak’ dalam realpolitik adalah menggunakan peluang dan instrumen yang ada untuk mencapai matlamat.

Jika Umno-BN yang memegang kuasa di peringkat pusat tidak menggunakan semua pilihan yang ada, tidak cukup liciklah mereka.

(Demokratik atau tidak tentulah bukan pertimbangan apabila bercakap tentang Umno BN)

Tentang Umno yang ‘bodoh’

Apa yang lebih bijak – Umno -BN tidak takut dilihat bodoh. Pandangan rakyat (baca: pemilik akaun Facebook dan Twitter) adalah perkara terakhir yang mereka fikirkan.

Di saat kita meng’hasan-malek’kan dan memperolok-olok kenyataan mereka dengan menambah dialog dan menyunting video parodi – sebagai escapism – pakcik-pakcik gendut ini tetap di tampuk kuasa, mengira timbunan wang yang semakin hari semakin tinggi. Dan itu sahaja yang penting bagi mereka.

Seorang politikus pernah beritahu saya bahawa politikus Umno-BN tidak kisah dilihat bodoh (atau tidak toleran, tertutup, bigot dan lain lain) jika ia memberi faedah kepada politik mereka.

“Kau ingat brader-brader Perkasa tu bodoh sangat ke? Diorang buat macam tu untuk kepentingan bos (dan akhirnya beri keuntungan politik kepada diorang)”, katanya lebih kurang.

(Dan itu mengingatkan saya kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Tahukah anda, abang swag yang suka selfie itu tidak lama dahulu adalah orang paling Umno dalam Umno?)

Sebab itu jangan sesekali percaya kata-kata Mahathir Mohamad, bahawa tiada lagi orang bijak dalam Umno.

Namun, kita semua bertepuk tangan selepas mendengar kenyataan itu, siap buat modal ceramah.

Di saat-saat begini, terlihat kebenaran kata-kata ‘pemimpin adalah cerminan rakyatnya’.

Tentang 16 Tahun ‘Anwar – Mahathir’

Ketika Mahkamah Rayuan masih di peringkat perbicaraan, saya sedang menulis artikel (separuh masak, seperti yang ini juga) bertajuk ‘Selepas Kangkung dan Onederful Malaysia’.

Asas tulisan itu adalah kelegaan saya apabila dua perkara itu semakin hari semakin tenggelam. Tulisan dan laporan mengenai kedua-duanya – yang sebenarnya simbol kepada masalah yang melibatkan rakyat secara langsung – tidak menyentuh isu utama. Lebih banyak membuang masa dan tenaga.

Namun, selepas hakim Datuk Balia Yusof Wahi membacakan keputusan lewat petang 7 Mac lalu, tulisan itu sudah hilang relevannya. Lalu saya sedar, bermula 1998 sehingga hari ini, politik Malaysia tidak pernah terlepas daripada pertembungan Anwar dan Mahathir.

Jika beberapa minggu dihabiskan dengan ‘Kangkung’ dan ‘Onederful Malaysia’, sudah 16 tahun politik Malaysia berkisar ‘Anwar-Mahathir’ (walau ada pasang surutnya).

Mahathir tidak akan berhenti selagi politik Anwar yang mengancam Umno-BN, sekaligus membahayakan legasinya itu ditamatkan.

Bagi Mahathir, tiada apa yang melampaui batas, selagi matlamat itu tidak kesampaian. Sedangkan si Pak Lah yang memainkan peranan dalam membebaskan Anwar dari penjara pada tahun 2004 pun boleh dia jatuhkan.

Pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-5 Sabtu lalu, ucapan beberapa pimpinan, antaranya Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali membayangkan keyakinan dan juga cabaran Pakatan Rakyat tanpa Anwar Ibrahim.

Bagi saya, kedua-duanya bukanlah perkara mudah; untuk Mahathir menamatkan hayat politik Anwar, dan juga untuk Pakatan Rakyat bergerak tanpa Anwar. Soalnya sekarang adakah yang lainnya turut bersedia. -Roketkini.com