Berita

“Saya hanya laksana amanah rakyat,” – Karpal Singh

KUALA LUMPUR, 11 MAC: “Tiada masalah. Sebagai Ahli Parlimen, saya perlu ambil risiko,” kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mengulas denda RM4,000 yang dikenakan Mahkamah ke atasnya, hari ini.

Beliau didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, berikutan memetik Perlembagaan Persekutuan ketika mengkritik rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

Kata Peguam terkemuka itu lagi, beliau mengeluarkan kenyataan itu atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen dan tidak akan sesekali menariknya.

“Saya hanya jalankan tugas saya untuk bersuara dan saya komited dengan apa yang saya katakan,” katanya lagi ketika ditemui wartawan di luar mahkamah.

Keputusan itu menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugur.

Hukuman ini dikenakan empat hari selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun berhubung kes fitnah liwat 2, yang turut menghilangkan kelayakan Anwar bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Dalam pada itu, Karpal turut mengatakan beliau akan mengemukakan rayuan dan mempunyai masa 14 hari untuk melakukannya.

Sebaik sahaja keluar daripada Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas perbicaraan, lebih 100 penyokong menyambutnya dengan laungan ‘hidup Karpal’ dan ‘hidup rakyat’.

Lebih mengujakan, mereka tiba seawal jam 9 pagi dan setia menunggu perbicaraan yang selesai hampir jam 1 tengah hari.

Turut hadir adalah pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Anwar, Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) dan Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS) serta beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP. – Roketkini.com