Berita

Undi Dr Wan Azizah – Pilihan moral untuk Kajang, Selangor dan Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memilih jalan penindasan politik untuk mengalahkan pemimpin Pakatan Rakyat dengan cara kotor setelah mereka kalah undi popular melalui pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, minggu lalu, menyaksikan dua pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun kerana kes liwat 2 dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh telah disabitkan kesalahan menghasut dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Katanya, dua pensabitan itu menyebabkan Anwar dan Karpal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Meskipun penyingkiran mereka sebagai Ahli Parlimen tertangguh sementara menunggu rayuan, Anwar dan karpal hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya, ini membuatkan isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang.

“DAP mengecam keras terhadap salahguna kuasa dan pemangsaan politik oleh Jabatan Peguam Negara. Hakikatnya, dalam mana-mana negara yang bebas dan demokratik, kes Anwar dan Karpal tidak langsung akan dibawa ke mahkamah, berikutan kurangnya bukti di pihak pendakwaan. Malah, Anwar dan Karpal kedua-duanya telah dibebaskan dalam kedua-dua kes, sebelum rayuan Jabatan Peguam Negara.

“Tambahan pula, masa untuk mensabit dan menghukum juga turut menimbulkan syak, memandangkan ia diawalkan dan disegerakan demi mengganggu rancangan Anwar untuk bertanding pada PRK Kajang. Ini menguatkan dakwaan intimidasi politik dan mengundang kecaman serta hinaan dari dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan media.

Contohnya, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Timbalan Pengarah Human Rights Watch di Asia, Phil Robertson, juga mengatakan bahawa perbicaraan Anwar adalah demi menamatkan kerjaya politik beliau dan kerajaan bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan itu terjadi.

Sementara itu, International Commission of Jurists (ICJ) mengutuk pensabitan Anwar sebagai kegagalan dalam melaksanakan keadilan, sambil mengatakan bahawa ia menimbulkan syak-wasangka terhadap kebebasan dan kesaksamaan badan kehakiman Malaysia serta mencemarkan reputasi sistem undang-undang negara.

ICJ juga mengulas pensabitan Karpal dengan mengatakan bahawa keputusan itu menunjukkan kurangnya hormat kerajaan terhadap kebebasan bersuara dan ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.

Di dalam negara, katanya, kes ini mengundang kutukan hebat daripada organisasi seperti Majlis Peguam, Suaram dan Lawyers for Liberty, yang mengatakan pensabitan itu menguatkan kembalinya pentadbiran otoritarian dan kuku besi serta mendedahkan kelayakan palsu Najib Razak sebagai seorang reformis.

“Ramai yang turut menyebut mengenai ketidaksekataan kerajaan dalam menggunakan Akta Hasutan yang sudah lapuk, yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri berjanji untuk mansuhkan.

“Kegagalan Perdana Menteri menepati janji memansuhkan Akta Hasutan serta eksploitasi berterusan terhadap undang-undang lapuk demi menewaskan lawan politik sedang membawa kepada era baru penindasan,” katanya.

Dengan ramai lagi aktivis rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat menanti giliran untuk berdepan dengan mahkamah atas dakwaan hasutan dan lain-lain lagi, wujud kebarangkalian bahawa ramai lagi pimpinan Pakatan Rakyat yang akan disabitkan kesalahan dengan cara yang serupa.

Oleh yang demikian, beliau berkata, sangat mustahak bagi rakyat Malaysia untuk bangkit dan mempertahankan hak asasi yang dijamin Perlembagaan untuk kedaulatan undang-undang, keadilan buat semua dan kesaksamaan tanpa mengira batas.

Katanya, ini menjadikan PRK Kajang satu ujian penting untuk memutuskan sama ada keadilan menjadi mangsa kekuasaan atau menjaga kepentingan rakyat biasa.

“Ia sudah bukan lagi sekadar satu pilihan raya kecil untuk satu kerusi DUN di Selangor, malah satu pertarungan hebat demi kuasa rakyat, kemakmuran, kestabilan dan maruah nurani menentang kezaliman, intimidasi dan penindasan kerajaan BN.

“Oleh itu, DAP menyeru semua pengundi Kajang serta seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong Kak Wan sebagai pilihan moral, bukan sahaja untuk pengundi Kajang bahkan demi Selangor dan Malaysia,” ujarnya.-Roketkini.com