Berita

Isu KLIA2: Pelancaran tergesa-gesa, abai tahap keselamatan

KUALA LUMPUR, 13 MAC: DAP hari ini menyatakan kebimbangannya berhubung tahap keselamatan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan akan dilancarkan 2 Mei ini.

Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua itu, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan KLIA2 gagal 65 peratus dalam ujian keselamatan walaupun beliau mengakui wujudnya masalah pembetungan dan akan memperbaikinya sebulan sebelum pelancaran itu.

Menyanggah jawapan itu, Tony Pua berkata, ia amat tidak masuk akal untuk Hishammudin mendakwa kerja pembaikian dapat dilakukan sebelum pelancaran kerana ujian Kesediaan Operasi dan Pindahan Lapangan Terbang (ORAT) biasanya mengambil masa sembilan bulan untuk menerima perakuan siap.

“Hishammuddin mendakwa kerja paip dan pembentungan dapat diselesaikan sebelum Mei ini. Jadi ia boleh disimpulkan bahawa tarikh 2 Mei nanti adalah semata-mata untuk menyelamat ‘muka’ serta dirinya sahaja.

“Semua orang boleh sekadar menampal keretakkan yang berlaku dan kemudian mengatakan ia akan dibaiki.

“Soalnya sekarang bagaimana jika keretakkan dan kerosakkan itu berlaku lagi? Apakah keperluan ingin mempercepatkan pelancaran? Adakah untuk sekali lagi dimalukan sebagai satu lagi skandal antarabangsa?,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Menurut Pua, ORAT untuk KLIA2 kini dipendekkan kepada hanya tiga bulan dan ia dilakukan secara serentak dengan kerja paip serta pembaikan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) menegaskan bahawa lawatan akan dilakukan petang ini untuk menyemak situasi dan perkembangan terkini KLIA2.

“PAC akan menyiasat secara lebih terperinci dalam lawatan petang nanti,” ujarnya. -Roketkini.com