Berita

DAP pertikai pampasan melampau kerajaan untuk Tol LDP, Sprint

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook mempertikaikan tindakan kerajaan memberi pampasan terlampau tinggi kepada dua lebuh raya yang mengaut keuntungan berlipat ganda.

Dalam jawapan bertulis yang diberi Kementerian Kerja Raya menyatakan jumlah keseluruhan pampasan itu adalah bernilai RM400 juta kepada 14 syarikat konsesi lebuh raya.

Daripada nilai RM400 juta itu, dua lebuh raya yang mengaut keuntungan besar iaitu Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) menerima pampasan tertinggi, masing-masing sebanyak RM89 dan RM72 juta

“Ironinya, lebuhraya ini adalah paling sibuk, sesak dan mengaut keuntungan daripada pembayar cukai dengan nilai yang sangat besar, contohnya LDP memperoleh sebanyak RM96 juta selepas cukai untuk 2013 sahaja,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan menyatakan kadar pampasan tertentu itu ternyata bersifat berat sebelah.

“Melalui pampasan ini, mereka mengaut lebih banyak keuntungan setelah memperolehnya melalui jumlah pertambahan kereta di lebuhraya setiap tahun,” ujarnya, sambil menggesa kerajaan mengkaji semula perjanjian konsesi.

Kerajaan sebelum ini berjanji mengurangkan kadar tol setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi kini memungkirinya apabila mencadangkan kenaikan untuk 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya mengumumkan kerajaan membatalkan rancangan itu kononnya berikutan peningkatan kos hidup rakyat. – Roketkini.com