Berita

Najib diminta nyata kejayaan banteras ‘rasuah besar’ sejak jadi PM – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meminta Datuk Seri Najib Razak menyatakan kejayaan yang dicapainya daripada segi membanteras ‘rasuah besar-besaran’ sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada April 2009.

Ketika mengajukan soalan lisan pada Persidangan Parlimen, beliau juga meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah serta nama ‘jerung besar’ yang didakwa dan disabitkan kesalahan kerana rasuah.

Bagaimanapun soalah lisan Ahli Parlimen Gelang Patah itu dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan yang menyatakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah membezakan sesuatu kes samada kes itu besar atau tidak.

Katanya, SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa sentiasa melaksanakan tugas menyiasat kes rasuah tanpa mengira kedudukan, status dan fahaman politik seseorang individu.

“Besar atau kecil sesuatu kes rasuah bergantung kepada impak buruk yang diterima oleh negara dan seluruh masyarakat akibat perlakuan rasuah tanpa mengira nilai rasuah yang terbabit samada kecil atau besar.

“Namun begitu, tidak dinafikan terdapat beberapa kes yang menarik perhatian ramai kerana beberapa sebab, antaranya membabitkan individu berprofil tinggi, membabitkan kepentingan awam atau amaun yang besar,” katanya.

Antara kes yang mendapat perhatian sejak penubuhan SPRM adalah:-

1. Ketua Makmal Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kolonel Dr Kunaseegaran a/l Ragavabaidu yang dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada 9 September tahun lalu kerana meminta daripada pemilik sebuah syarikat swasta dan menerima suapan membabitkan wang sejumlah RM700,000 sebagai upah bagi mencadangkan nama sebuah syarikat swasta untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi hospital terbabit.

2. Datuk Sarchu Sawal, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif KPF Quality Foods Sdn Bhd dan Datuk Tan Han Kook, yang ketika itu Pengarah KPF Quality, masing-masing
dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membabitkan RM30 juta, pada 2 Ogos tahun lalu.

3. Dua pegawai kanan Petronas Carigali Sdn Bhd iaitu Idris M Shuhud, 47, dan Ishak Hashim, 47, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM426,000, pada 5 Julai tahun lalu

4. Dua ahli perniagaan dan seorang Pensyarah Kanan di sebuah universiti tempatan menghadapi 20 tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memperoleh sejumlah RM2.069 juta bayaran daripada Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru pada 27 Jun 2013.

5. Pertuduhan ke atas seorang penimbang tara bertauliah di Pulau Pinang pada 26 Jun tahun lalu.

6. Seorang Pengarah Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dituduh menyalahguna kuasa dalam pemberian kontrak bernilai RM230,800 kepada syarikat adiknya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru pada 26 Jun tahun lalu. Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

7. Sindiket Penyeludupan Minyak Diesel ke Thailand, di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah.

8. Pada 7 Disember 2012, bekas Pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ), Datuk Tan Han Kook, 58, dan bekas Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Ching Siew Cheong, 50, dituduh atas 134 tuduhan menipu pegawai bank Malayan Banking Berhad dengan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan tuntutan kemudahan ‘Banker Acceptance’ (BA) membabitkan lebih RM67 juta.

9. Pada 3 Oktober 2012, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM dituduh meminta dan menerima wang suapan bernilai RM15,000.00 daripada seorang kontraktor sebagai balasan untuk membantu kontraktor berkenaan mendapat projek dari Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Harta Bina UTHM. Wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya di salah sebuah bank tempatan.

10. Pertuduhan terhadap Zainal Rashid bin Zakaria, Pengurus Bahagian Pengurusan Program YPM dan Datuk Dr Abdul Shariff bin Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif CEO) YPM pada 16 April 2012. Kedua-dua tertuduh masing-masing menghadapi sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menggunakan dokumen yang mengandungi butiran palsu yang membabitkan wang berjumlah RM33,850.00 bagi setiap satu transaksi.

11. Pada 9 April 2012, Timbalan Pengarah Bahagian Kandungan & Penguatkuasa SKMM, Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan dituduh bersubahat dengan isterinya Pengurus Akaun Strategik Comintel Sdn Bhd, Suraya Hani Akmad Zaki dan Pengarah Urusan Inter Eclipse Sdn Bhd, Noor Shidin Mohd Noor untuk menipu dan seterusnya meminta rasuah sebanyak RM250,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn Bhd. Rasuah itu adalah sebagai balasan membantu syarikat tersebut memperolehi surat penganugerahan bagi tender projek ‘Mereka Bentuk, Melaksana, Menguji dan Pentauliahan Makmal Forensik Digital SKMM’.

12. Sindiket pemalsuan Perintah Pembahagian Harta Pusaka (Borang T) yang dilakukan oleh pegawai Amanah Raya Berhad (ARB). Berjumlah RM952,688.04 bagi pampasan tanah dibayar
kepada seorang awam yang turut bersubahat dengan perbuatan pegawai tersebut dituduh pada 30 Mac 2012.

13. Pengarah Veterinar Memalsukan Dokumen Untuk Tujuan Kenaikan Pangkat dituduh pada 17 Januari 2012.

14. Pada 1 Julai 2011, SPRM menuduh Datuk Mohamad Daud Dol Moin, bekas Penolong Gabenor BNM atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana kesalahan menerima wang suapan daripada Abdul Kayum berjumlah RM100,000 melalui dua transaksi berjumlah RM50,000 setiap satu. Sementara itu, Abdul Kayum pula dituduh mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana memberi wang suapan berjumlah RM100,000 (RM50,000 bagi setiap transaksi) kepada Datuk Mohamad Daud bagi memperoleh kontrak percetakan wang kertas polimer RM5 untuk NPAL

15. 0ps 3B yang dijalankan pada Mac dan April 2011 meningkatkan kutipan hasil cukai negara,.

16. Pada 10 Februari 2011, Hasbie Satar, bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan II dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

17. Tangkapan dan pertuduhan dibuat terhadap Mohd Amin Suhaimi, 52 tahun, iaitu suami kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIB atas tiga kesalahan meminta dan menerima suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009, membabitkan nilai keseluruhan suapan RM1.6 juta. Tertuduh didakwa meminta dan menerima rasuah tersebut dengan tiga kali pembayaran antara RM316,900 hingga RM816,900 daripada syarikat Detect Engineering Sdn. Bhd., sebagai upah kononnya bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Membina dan Menyiapkan Sekolah Berasrama Penuh di Daerah Johor Bahru yang bernilai RM40,845,000 daripada IIB.

18. Rasuah dan Kerugian Berbillion Ringgit di Sime Darby Berhad – 2 Pertuduhan ke atas Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin, Sime Darby, 2 pertuduhan atas Pengurus Besar Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan Projek Antarabangsa, 1 pertuduhan Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering dan 2 pertuduhan ke atas Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby
Berhad (SDB), Datuk Sri Ahmad Zubair @Ahmad Zubir Murshid.

19. Datuk Seri Mohamad Khir Toyo (Bekas Menteri Besar Selangor) pada 6 Disember 2010.

20. Bekas Eksekutif Akaun Pelanggan Serantau, syarikat telekomunikasi Alcatel Network (M) Sdn Bhd iaitu Radziah Ani. Beliau dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan memberi suapan sebanyak RM25,000 kepada Penolong Pengurus Perolehan Telekom Malaysia (TM), Mohd Asri Idris pada 17 Februari 2006.

21. Datuk Mirza Mohammad Taiyab (Ketua Pengarah Tourism Malaysia), Rosly Selamat (Bekas Ketua Pegawai Eksekutif) dan Lim Kim Tye (Bekas Ketua Pengawal Kewangan – Pembangunan
Pelancongan Nasional Sdn Bhd – PEMPENA).

Selain itu bekas Adun Lenggeng, Mustafa Salim; bekas ADUN Teratai, Yap Soo Sun; Ahli Parlimen Sepang, Datuk Abdul Rahman Bakri (Tuduh 2009); Timbalan Pendakwaraya Md Azar Irwan Ariffin; Majistret Mohd Firdaus Ramlan; Peguam Ranjit Singh Karam Singh; Ahmadi@Ahmad Zukni Johari (CEO PUNB); Ketua Pegawai Operasi Kesas Sdn Bhd, Ahmad Kamaruzzaman Abdullah dan Pegawai Daerah Seberang Prai Tengah, Roslan Yahaya.-Roketkini.com