Rencana

Kak Wan – Erti wanita sebenar, contoh srikandi unggul oleh Dyana Sofya

SEJAK sesi Parlimen bersambung semula, rakan-rakan saya dari seluruh negara, YB dan bukan YB, memenuhi ibu kota untuk menjalankan tugas mereka.

Dengan sedikit masa yang ada, kami sempat ke pawagam dan rakan memilih untuk menonton ‘300: Rise of An Empire (amaran spoiler!), sebuah filem yang berdasarkan mitologi Greek. Walaupun saya tidak menonton siri pertamanya (ya, ya, salah saya), jangkaan saya ia adalah filem yang penuh-testosterone, dengan adegan manusia berlumuran darah dan paparan otot lelaki yang berlebihan dan tanpa sebab. Ia bukanlah cita rasa saya, namun saya memilih untuk sertainya.

Selepas beberapa minit wayang bermula, kami diperkenalkan dengan dua wanita hebat, Permaisuri Gorgo yang lemah lembut dan Artemisia yang bijak dan manipulatif. Kedua-duanya adalah komander kepada armada ribuan askar dan mengenakan gaun labuh yang memukau ketika perang. Keberanian dan kekuatan mereka lahir daripada latar yang kejam. Saya tidak akan ceritakan di sini sebab anda perlu menonton sendiri kisah yang menghiburkan ini.

Nusantara kita juga tidak ketandusan pahlawan wanita. Misalnya, Tun Fatimah membantu Bendahara Tun Perak ketika menentang Portugis pada awal abad ke-16. Tengku Tengah dari Johor berani mengangkat pedang berhadapan dengan penentang ayahandanya, dan memulihkan maruah ayahandanya dengan bersekutu bersama Bugis. Di Kelantan, Cik Siti Wan Kembang dipercayai memerintah negeri itu antara 1548 dan 1580, serta dikenali dengan kecantikan dan kebolehannya ke medan perang dengan bersenjatakan pedang dan memimpin askar wanita berkuda.

Berkenaan Permaisuri Gorgo dan Artemisia, kedua-duanya dikalahkan pada satu ketika dalam hidup mereka, serta diuji dengan rantaian dugaan dan penderitaan. Namun, mereka bangkit semula dan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.

Seperti yang pernah diungkapkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, “lap air mata, teruskan perjuangan”.

Baru-baru ini, Kak Wan (panggilan mesra kepadanya) dinamakan sebagai calon Pakatan Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang dan akan berhadapan dengan Chew Mei Fun daripada MCA. Seperti yang kita semua tahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya menjadi calon sehinggalah beliau dihukum penjara lima tahun. Sejarah hodoh tentang sabitan Anwar pada 1998 berulang kembali dan Pakatan perlu mencari strategi yang lain.

Kak Wan dilihat mengelap air mata ketika Mahkamah membacakan keputusan, seperti semua wanita lainnya. Ia menyentuh perasaan ramai. Rakyat Malaysia, terutama wanita tanpa mengira latar mengagumi keberanian, kekuatan dan kesetiaan beliau, serta keteguhan untuk mengharungi cabaran yang seperti tidak berpenghujung untuk bertahun-tahun lamanya. Saya berusia sebelas tahun ketika suaminya itu pertama kali dipenjara.

Letakkan diri kita di tempatnya, dan kita barangkali tidak akan dapat mengharungi pengalaman pahit itu.

Daripada isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, beliau menjadi isteri kepada bekas banduan dan kini suaminya mungkin kembali dipenjarakan. Daripada mengasingkan diri di bilik, Kak Wan sebaliknya tabah. Beliau tidak mengelak untuk berhadapan dengan dunia, atau menangis teresak-esak seperti apa yang akan terjadi kepada kita semua.

Tidak untuk beliau. Ketika Kak Wan boleh menghabiskan beberapa bulan ini bersama suaminya yang mungkin akan dipenjarakan nanti, beliau memutuskan untuk bertanding dalam satu PRK yang paling getir. Beliau memilih untuk menawarkan dirinya kepada rakyat sekali lagi dan menjadi suara di Dewan Undangan Negeri Selangor. Kak Wan tidak pernah putus asa.

Malah, kata-kata beliau di Konvensyen Pakatan Rakyat ke-5 – “Walau sugul di hati, semangat masih tinggi”.

Kak Wan tidak pernah menjadi ‘boneka’ cantik berbaju kurung. Beliau adalah pengertian sebenar wanita, contoh unggul kepada kata ‘srikandi’. Wanita ini, tanpa mengira kecenderungan politik, wajar menerima sanjungan tinggi dan sokongan tidak berbelah bahagi kita semua. Seperti kata pepatah Melayu, “Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia”.

Nah, siapa kata anda tidak boleh turun berperang dengan berbaju kurung? Namun, perlu saya tambah di sini, tak perlulah ‘angkat kain’ atau ‘menyinsing lengan’. Selamat Hari Wanita Sedunia.

Diterjemahkan oleh Aedi Asri daripada tulisan asal berbahasa Inggeris. – Roketkini.com