Berita

Pengundi perlu jadi hakim, hukum BN di Kajang – Kit Siang

KAJANG, 15 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang menjadi hakim dan menghukum BN yang telah membawa kerosakan kepada negara, terutamanya sistem kehakiman.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah di Taman Kajang Baru, di sini semalam.

Beliau memetik tokoh sejarah Dinasti Song China, Bao Zheng yang terkenal sebagai hakim yang adil dan tidak gentar dengan tekanan penguasa.

“Anda semua mesti ingat rancangan tv ‘Hakim Bao’ yang pernah ditayangkan. Rancangan itu popular di kalangan semua rakyat, tanpa mengira kaum.

“Itu kerana beliau adalah seorang yang pertahankan keadilan dan kebenaran,” katanya.

Justeru, katanya lagi, rakyat sendiri perlu mencontohi dan ‘menjadi’ Hakim Bao bagi menghukum BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang 23 Mac ini.

“Jadikan PRK Kajang sebagai ‘mahkamah rakyat’. Anda perlu jadi Hakim Bao untuk selamatkan sistem kehakiman dan negara kita,” katanya disambut tepukan hadirin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman bersalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mengembalikan sistem itu ke zaman kegelapan pada penghujung tahun 80-an.

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mencampuri urusan institusi kehakiman dan memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Tinggi lain ekoran keputusan mahkamah mengharamkan UMNO.

“Sehingga kini, jika ada pertikaian antara syarikat dan timbang tara antarabangsa, ia tidak diadakan di Malaysia. Kenapa? Sebab tiada keyakinan.

“Ketika Tun Dzaiddin jadi Ketua Hakim dari 2000 hingga 2003, ada usaha untuk hentikan kerosakan.

“Namun, minggu lalu kita saksikan sistem kehakiman kembali ke era lewat 80-an, sebagai alat kepada kerajaan,” katanya. – Roketkini.com