Berita

Saya bukan boneka – Wan Azizah

KAJANG, 15 MAC: Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membidas tuduhan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa konon manifestonya sempena PRK kali ini menandakan kegagalan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Berucap dalam satu ceramah di Taman Kajang Baru semalam, beliau berkata, manifesto itu sebenarnya menunjukkan sikap Pakatan yang saling memberi kritikan membina demi kebaikan rakyat.

“Kita dalam Pakatan boleh kritik antara satu sama lain untuk membina dan baiki keadaan.

“Kita bukan ‘yes man’, bukan macam sebelah sana,” katanya kepada hadirin.

“Apa salahnya jika saya kritik untuk (kebaikan) rakyat Kajang?” kata Presiden PKR itu lagi.

Dalam satu sidang media 14 Mac lalu, Liow mendakwa manifesto itu kononnya satu tamparan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Antara komitmen Pakatan yang dinyatakan dalam manifesto itu adalah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas melalui Pelan Trafik Bandar Kajang 2018 dan memastikan kadar jenayah menurun dan kawalan keselamatan ditingkatkan.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tuduhan Umno-BN bahawa beliau adalah calon ‘boneka’, hanya kerana menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilarang bertanding pada PRK kali ini.

“Panggil saya ‘puppet’ (boneka), lagi buat saya marah.

“I am no puppet (Saya bukan boneka). Anda perlu ada sedikit rasa hormat, anak muda,” katanya merujuk tuduhan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepadanya itu.

Wan Azizah pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 1999 hingga 2008, malah memimpin PKR sebagai Presiden sejak 1999 sehingga hari ini. – Roketkini.com