Rencana

Pembangunan tidak terkawal – Pulau Ubah Oleh Lim Kit Siang

SEJAK Januari lalu, satu projek penambakan laut telah dilaksanakan dengan rancak di perairan Selat Johor berdekatan Tanjung Kupang, tidak jauh daripada Jambatan Linkedua dan sempadan maritim Malaysia-Singapura.

Tiada papan tanda, tiada maklumat awam, tiada kelulusan pihak berkuasa sama ada agensi kerajaan Persekutuan Jabatan Alam Sekitar, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia IRDA), atau kerajaan negeri yang sepatutnya mengawal semua kerja tanah (earthworks).

Penambakan laut ini berskala besar iaitu luasnya kira-kira 2,500 ekar. Saya pertama kali melawat ke kawasan ini pada 15 Februari dan kemudian pada 24 Februari 2014. Dasyat dan mengejutkan. Di tengah-tengah laut, sebuah pulau sedang tumbuh dan ia berkembang begitu cepat – berlipat kali ganda saiznya dalam dua lawatan itu.

Kes ini berlaku di kawasan Pendas dan Tanjung Kupang, dalam kawasan Parlimen Gelang Patah, Daerah Johor Bahru yang terletak di dalam wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.

Saya telah mengkaji peta terbitan rasmi kerajaan dan boleh disahkan bahawa pulau ini tidak wujud. Pulau yang ada yang paling dekat dengan pulau baru ini adalah sebuah pulau kecil yang bernama Pulau Merambong di sempadan Malaysia-Singapura.

Pulau baru yang tidak wujud dalam peta Malaysia ini telah saya namakannya sebagai Pulau Ubah.

Untuk maklumat, penambakan itu berlaku di dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia. IRDA adalah sebuah agensi yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor. IRDA diberi mandat untuk merancang dan mengawal aktiviti pembangunan dalam kawasan Iskandar Malaysia di selatan Johor.

Ratusan juta wang kerajaan dibelanjakan menggaji konsultan canggih dari seluruh dunia untuk membuat pelan pembangunan, kajian, blueprint dan macam-macam yang sepatutnya menempatkan Iskandar Malaysia ini sebagai satu wilayah ekonomi yang terulung di rantau ini.

Dalam Comprehensive Development Plan (CDP) yang diluluskan IRDA dan Kerajaan Malaysia sebagai Masterplan Iskandar Malaysia, projek Pulau Ubah ini tidak wujud dalam perancangan berkenaan.

Dalam blueprint Iskandar Malaysia yang berjudul Shoreline Management Plan terbitan 2013, kawasan perairan Tanjung Kupang ini dikenal pasti sebagai kawasan yang sangat kaya dengan biodiversity marin kerana ada rumpai laut (Seagrass bed) yang mungkin antara terbesar di dunia.

Malah dalam pelan itu, agensi kerajaan IRDA (bukannya sembarangan NGO alam sekitar) mencadangkan supaya kawasan ini dilindungi dan diwartakan sebagai ‘marine protected area’.

Kawasan ini penting untuk memastikan sumber perikanan tidak terputus dan ada potensi untuk dimajukan untuk eko-pelancongan. Ia juga merupakan warisan begitu unik dan bernilai sekali untuk anak-cucu kita di Tanjung Kupang.

Saya ingin memberi perhatian kepada masalah pembangunan tidak terkawal di Iskandar Malaysia yang bukan sahaja mencemarkan khazanah alam sekitar yang sangat bernilai, tetapi juga memusnahkan rezeki rakyat setempat khasnya golongan berpendapatan rendah yang hidup bergantung kepada hasil alam sekitar.

Komuniti pesisiran pantai tempatan, yang majoritinya nelayan pantai orang Melayu, menduduki tempat ini sejak ratusan tahun dulu dan di sinilah mereka mencari rezeki.
Ada dugong, kuda laut, udang dan ratusan jenis ikan lain, ada yang diambil sebagai rezeki, ada yang dibiarkan untuk kelestarian alam sekitar – penduduk tempatan begitu sayang khazanah kurniaan Tuhan.

Cara hidup yang unik buat nelayan pantai di kawasan ini sepatutnya dilindungi, malah boleh dijadikan tarikan pelancong ke “Kampung Nelayan Pantai” yang tulin dan asli supaya kehidupan asal masyarakat di situ boleh dilindungi, tetapi yang sebaliknya berlaku.

Datanglah kontraktor pasir dan manusia yang bergelar pemaju dan bermulalah projek penambakan pasir ini.

Kira-kira 1,000 hektar – satu kawasan laut berukuran 3km kali 3km – yang kaya dengan sumber perikanan kini sedang ditukarkan menjadi tanah.

Sejak bulan lalu, dilaporkan ikan ternakan dan ikan laut sudah mati secara besar-besaran di perairan Selat Johor, nilai kerugian sampai berjuta-juta ringgit. Pengusaha ikan sangkar rugi. Nelayan pantai mengeluh. Tetapi agensi kerajaan mengetepikan isu ini.

Sebelum laporan siasatan disiapkan, pihak berkenaan mendakwa bahawa kematian ikan tidak berkaitan langsung dengan penambakan laut.

Saya hairan, adakah nelayan boleh mencari ikan nanti di atas tanah tambakan lebih kurang 2,500 ekar ini yang sebelumnya laut? Bagaimana mereka dan anak mereka boleh bersaing dengan pekerja asing untuk mendapat kerja di tapak pembinaan? Di mana kampung halaman mereka selepas ini?

Nelayan pantai dan perikanan

Mereka nelayan pantai. Mengikut statistik Jabatan Perikanan, terdapat 613 nelayan di daerah Johor Barat, 415 Melayu, 147 Orang Asli, 51 Cina. Gelang Patah adalah pusat perikanan utama di daerah Johor Barat. Di Pendas, Tanjung Kupang ada 250 nelayan pantai, 95% daripadanya kaum Melayu.

Kerja sebagai nelayan mungkin bukan idaman semua orang. Nelayan pantai menggunakan bot dan enjin kecil, mencari ikan dan hasil laut hanya di pesisiran laut dengan alat biasa dan tradisional.

Mereka ini bukan seperti nelayan bot besar pukat tunda. Tetapi tanpa mereka yang mengharungi ombak dan matahari panas, mana datangnya ikan dan udang untuk menjadi makanan dan sumber protein murah yang penting untuk masyarakat tempatan?

Perikanan hanya menyumbang kepada lebih kurang 1% GDP Malaysia. Tetapi sumbangan nelayan pantai ini terhadap masyarakat kita, peranan mereka dalam adat budaya identiti Malaysia, tidak dapat disukat sekadar nilai GDP.

Sehubungan itu, saya minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan – apakah dasar kerajaan untuk menjaga hak nelayan pantai?

Adakah dasar Kementerian melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan untuk membangunkan industri akuakultur besar, menggalakkan pertumbuhan perikanan lautan antarabangsa oleh syarikat, tetapi untuk nelayan pantai ini kecil dan tradisional, tidak ada apa-apa yang boleh dibuat untuk mengelak mereka terus terpinggir dalam arus pembangunan negara?

Perkembangan ini menunjukkan betapa jauhnya beza realiti kehidupan dan penderitaan rakyat biasa berbanding janji manis Kerajaan Barisan Nasional (BN), betapa jauh bezanya cara pelaksanaan projek yang kononnya bertujuan memanfaatkan rakyat tetapi realitinya hanya memusnahkan khazanah alam sekitar dan kehidupan tradisi secara membuta tuli.

Semua ini berlaku tanpa mematuhi undang-undang negara, malah melanggar kewajipan Malaysia daripada segi undang-undang dan konvention antarabangsa.

Tidak tolak pembangunan semata-mata

Adakah saya atau nelayan pantai ini menentang penambakan laut atau menolak pembangunan semata-mata? Sememangnya tidak. Tetapi ada pertimbangan sosio-ekonomi dan ada prosedur undang-undang yang HARUS diikuti oleh pemaju, kontraktor dan kerajaan sendiri kalau projek penambakan hendak dilakukan.

Antaranya perundingan terbuka dengan masyarakat tempatan, prosedur yang betul diikuti untuk memastikan penambakan laut tidak memusnahkan sumber laut serta sikap yang betul dalam merancang keutamaan pembangunan – samada ia dilakukan untuk segelintir pelabur dan golongan berada atau membabitkan masyarakat setempat sehingga mereka ini juga dibawa bersama ke dalam arus pembangunan utama.

Menyalahi undang-undang tempatan

Parlimen membuat undang-undang Akta Alam Sekeliling pada 1974 – Environmental Quality Act 1974. Dan kemudian di bawah EQA, dibuat undang-undang Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang mengatakan proses EIA ialah mandatori untuk kegiatan tertentu.

Saya merujuk kepada ‘prescribed activities’ EIA ini dan jelas, penambakan laut atau pesisiran pantai (coastal reclamation) perlu ada EIA. Sebarang pembangunan yang melebihi 500 ekar memerlukan EIA.

Kenapa projek Pulau Ubah yang berkeluasan 1,000 ekar dibenarkan untuk berlaku tanpa EIA? Saya minta Menteri Alam Sekitar menjelaskan perkara ini – lupakan panda dari Cina buat sementara, fokuskan kepada isu tempatan.

Khazanah alam sekitar dimusnah tanpa mengikut undang-undang yang digubal. Jerebu teruk. Nasib nelayan tidak menentu. Tapi menteri minat dengan Panda sahaja.

Saya minta Perdana Menteri, sebagai Pengerusi IRDA untuk menjelaskan perkara ini.

Perdana Menteri harus berikan penjelasan juga, kerana telah timbul ura-ura khasnya di masyarakat Johor bahawa lesen judi – kasino – sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan untuk diberikan kepada syarikat besar untuk mendirikan industri kasino baru di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia telah mula wujud.

Projek penambakan laut – seperti Pulau Ubah ini – yang kononnya untuk pembangunan bercampur (mixed development) bangunan residential dan commercial bertingkat di tengah laut, adakah ini permulaan tapak pembangunan industri kasino kedua di Malaysia?

Matlamat pembangunan agar hidup lebih bermakna dan bermaruah

Akhir sekali, saya ingin kembali kepada persoalan isu ini. Apakah matlamat pembangunan yang Malaysia kejar sejak merdeka? Pembangunan untuk memanfaatkan rakyat, untuk membolehkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, hidup lebih selesa, lebih bermakna dan bermaruah.

Boleh kami buat bangunan tertinggi di dunia, stadium paling besar, atau jika perlu, menambak laut untuk pembangunan. Tetapi kalau kita sesat seperti Kerajaan BN yang mengejar projek mega tanpa mempertimbangkan faktor sosio-ekonomi dan alam sekitar, hak rakyat tempatan akan terus ditindas.

Contohnya di Tanjung Kupang Gelang Patah. Apakah maknanya pembangunan untuk komuniti nelayan pantai ini – adakah hidup mereka akan lebih selesa dan bermaruah? Gelang Patah hanya satu di Malaysia, tetapi corak pembangunan, atau dengan istilah lebih tepat, pemusnahan ini sedang merebak seperti penyakit berjangkit ke seluruh negara Malaysia di bawah pemerintahan BN.

Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP merangkan Ahli Parlimen Gelang Patah