Rencana

Muzik bukan dadah, dadah bukan muzik Oleh Mahdzir Ibrahim

BARU-baru ini pesta konsert muzik Future Music Festival Asia yang berlangsung di kawasan Stadium Puta Bukit Jalil tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila 6 orang anak muda telah meninggal dunia dipercayai berpunca dari pengambilan dadah yang berlebihan, 3 orang lagi berada dalam keadaan kritikal.

Ini merupakan suatu tragedi hitam bagi kita semua. Kita tidak lagi dapat berbohong bahawa memang wujud tabiat pengambilan dadah atau alkohol di kalangan pemuzik termasuk peminatnya baik sebelum, semasa atau selepas persembahan gig, konsert dan sebagainya.

Contoh-contoh memang banyak sejak dari zaman hippies 70an, Woodstock di US, Battle of The Band di tanah air pada era 80 dan lain-lain lagi.

Namun itu tidak memberikan apa-apa indikasi jelas bahawa muzik menjadi penyebab kepada tabiat ini. Kerana pada hakikatnya, apa jua muzik, akhirnya adalah untuk dinikmati oleh pendengar, itu sahaja.

Keseronokan, kemeriahan mahupun ‘kemabukan’ hanyalah kesan yang ditentukan oleh individu itu sendiri. Bukan ditentukan oleh muzik atau lagu.

Gaya atau trend yang menjadi ikut-ikutan anak muda juga bukanlah atas ‘dakwah’ pemuzik itu sebaliknya dipilih dan ditentukan sendiri oleh si peminat menerusi segala macam bahan promosi dan iklan yang ‘menggangu citarasa’ jiwa muda.

Samalah seperti ideologi, Karl Marx tak pernah ‘berdakwah’ kepada masyarakat bahawa ideanya betul dan perlu diikuti, sebaliknya idea beliau minta dicabar untuk difahami.

Industri Hiburan

Di sebalik semua permasalahan ini, isunya bukanlah muzik lagi tetapi ‘industri’ hiburan yang memain peranan membentuk segala macam pilihan buat anak muda. Persoalannya, pilihan yang mana akan dipilih oleh orang muda.

Apabila kita bercakap tentang industri hiburan, ia termasuklah industri filem, fesyen malah termasuk permainan video. Industri hiburan ini bersifat trending yang tidak kekal pada satu-satu masa. Ia akan berubah mengikut citarasa yang dicipta oleh golongan pemodal demi menjual lebih banyak lagi jenama-jenama baru buat hiburan pelanggan. Ini aksesori, bukan lagi bersifat keperluan manusia.

Daripada laporan International Federation of the Phonographic Industry (IFPI), keuntungan dari industri hiburan bagi muzik sahaja berjumlah USD 16.5 billion pada 2012. 57 peratus darinya adalah hasil dari jualan album muzik secara fizikal. 36 peratus lagi dari jualan secara digital (online) sahaja, selebihnya dari keuntungan persembahan (konsert) dan televisyen dan sebagainya. Ini hanya di US, tidak termasuk di Eropah, Afrika dan Asia.

Jika diterjemah dalam ringgit jumlahnya sekitar RM54 billion, jika keuntungan ini jatuh ke tangan BN, ia pasti dapat menampung bayaran BR1M RM 4.6 billion sebanyak 11 kali (tahun). Tersenyum Najib.

Kegiatan dadah

Jika kita tinjau pula masalah penyalahgunaan dadah. Menurut Pengarah Eksekutif, United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) Yury Fedotov dalam kenyataan medianya sempena International Day against Drug Abuse and Illicit Trafficking pada June 2013 menyifatkan;

“Amphetamine-type stimulant use is widespread with Methamphetamine pills the most predominant form of ATS in East and South-East Asia”.

Beliau turut menyatakan “..demand has not been substantially reduced and around 200,000 people continue to die every single year due to illicit drugs”.

Ini merupakan satu indikasi yang tidak baik. Statistik rampasan dadah di Malaysia sahaja pada tahun 2011 berjumlah RM RM243,32 juta tidak termasuk yang gagal di rampas. Pastinya jumlah dadah yang gagal dikesan, mungkin boleh mencecah lebih dari setengah billion ringgit.

Faktor-faktor lain

Kembali kita melihat mangsa-mangsa yang meninggal dunia dan kritikal akibat penggunaan dadah jenis Methamphetamine ini, termasuk para pengunjung (peminat) muzik yang membanjiri konsert Future Music Festival Asia, difahamkan kehadirannya mencecah sekitar 50 ribu penonton. Dan hampir separuh daripadanya adalah pelancong dari luar.

Tarikan pesta ini pastinya menggamit lebih banyak pelancong apatah lagi ia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, ini jelas menunjukan bahawa pesta konsert ini menjadi tarikan oleh semua pihak termasuk pengedar dadah untuk turut sama berniaga dan mengedar produknya.

Dalam hal ini, muzik dijadikan alat untuk menghimpunkan segala macam aktiviti perniagaan termasuk kegiatan haram iaitu pengedaran dadah.

Paling penting untuk tidak salah faham, isu ini harus dilihat secara objektif berdasarkan fakta semasa bahawa isu dadah adalah isu ketagihan, isu jenayah dan isu keselamatan yang harus ditangani dengan cara-cara yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Permasalahan industri hiburan juga jelas bahawa setiap penganjur pesta atau konsert, mereka wajib mengawal acara khususnya dalam aspek keselamatan pemuzik dan pengunjungnya sama seperti pengurus/pengawal stadium mengawal penyokong bolasepaknya.

Hal ini boleh diurus dengan cara yang betul tanpa menutup pintu rezeki pemuzik dan menutup peluang untuk masyarakat berhibur. Semua benda ada hadnya, semua pihak harus hormati garis-garis ini. Bukan untuk keuntungan sahaja, tetapi untuk kelangsungan budaya kita.

Muzik adalah sumber hiburan, jangan rosakan sumber ini sama sepertimana jangan merosakan sumber alam seperti sumber tadahan air kita, jika tidak, kemarau pendek pun kita tak mampu nak survive. Janglah kotorkan muzik, muzik bukan dadah dan dadah bukan muzik.

MAHDZIR IBRAHIM ADALAH AHLI JAWATANKUASA DAPSY KEBANGSAAN, JUGA SEORANG PENDUKUNG SENI DAN KEBUDAYAAN. – Roketkini.com