Berita

Pimpinan PR Selangor terus doakan keselamatan penumpang MH370

PETALING JAYA, 17 MAC: Atas rasa prihatin dan peduli, sekumpulan warga Malaysia semalam telah mengadakan himpunan nyalaan lilin (candlelight vigil) di Padang SS2, Petaling Jaya untuk menyatakan solidariti dengan nasib penumpang pesawat MH370.

Himpunan nyalaan lilin, ‘In Solidarity with MH370’ bermula jam lapan malam, berakhir lewat malam itu bertujuan untuk mendoakan keselamatan penumpang, anak-anak kapal serta juruterbang supaya kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

1604773_302620343225231_2091247673_n

Himpunan tersebut dihadiri Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San dan Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain berdoa dan bertafakur, ada diantara peserta menyusun lilin yang membentuk mesej ‘come back home’ dalam bahasa mandarin dan melukis kertas putih dihiasi dengan kata-kata semangat kepada mangsa serta keluarga mereka.

Pada masa sama, kesemua pimpinan PR dan hadirin turut menurunkan tanda tangan pada kain rentang sokongan yang kemudiannya digantung disekitar SS2.

8 Mac lalu, pesawat MH370 yang membawa 227 dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.

Misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu menimbulkan pelbagai tanda tanya dan spekulasi serta mendapat perhatian meluas dari media antarabangsa. -Roketkini.com