Budaya

Bomoh, positivism dan MH370 – Oleh Haris Zuan

TOK Raman letak ayam panggang elok-elok, kemas-kemas atas pulut kuning, di celah ayam panggang itu terselit pula telur rebus, entah 3 atau 4 biji, saya tidak sempat membilangnya dan tidak juga punya minat saat itu untuk memastikannya. Kemudian, di keliling ayam panggang dan pulut kuning itu dihias cantik dengan bunga-bungaan, umumnya bunga raya – tidak pula saya pasti sama ada bunga jenis ini memang dimestikan atau kerana bunga raya ini sahaja yang banyak kedapatan di sekitar rumah kami.

Kemudian Tok Raman perasapkan geharu yang membuatkan seluruh ruang rumah kami semerbak dengan bau wangi geharu sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak kami jelas butirnya. Saat asap geharu mula menipis, ayam panggang bersama pulut kuning tadi diangkat dan dilayang-layangkan di hadapan saya yang sedari awal duduk mengadap Tok Raman. Kemudian, ayam panggang dan pulut kuning itu diletakkan di atas bahu kanan dan kiri saya beberapa saat sebelum ke atas kepala saya untuk lagi beberapa saat, sambil itu Tok Raman menyebutkan mantera yang tidak jelas – yang kadang-kala bunyinya seperti ayat al-Quran.

Tok Raman kemudian capai pula bertih beras dan taburkan ke atas kepala kami. Kami adik-beradik menahan ketawa. Saat itu kami hanya rasakan pengalaman itu lucu dan bergembira kerana kemudiannya dapat makan ayam panggang dengan pulut kuning. Kini, perlahan-lahan kami mula memahami dan menghargai amalan terbabit.

Itulah amalan Pupah atau Upah-Upah yang diamalkan sebahagian masyarakat Minang yang berasal daripada Rokan Hulu, Pasir Pengaraian, Riau. Amalan itu bertujuan mendapat atau mengembalikan semangat setelah berlaku sesuatu kejadian seperti kemalangan, jatuh sakit. Malah, dilakukan juga bagi mereka yang menempuh fasa baru kehidupan seperti baru masuk sekolah, mendapat pekerjaan mahupun mendirikan perkahwinan. Ritual pupah ini sangat halus, penuh berseni dan lengkap dengan adat-adat tertentu, termasuk bait kata-kata yang indah sebagai doa dan ingatan;

Pada saat ini ada hajat di dalam hati
Ada niat yang belum terlaksanai
Untuk mengupah-upah anak menantu kita ini
Akan kita lepas ke lautan hidup tak bertepi

Supaya mereka tidak melanggar pantang
Supaya mereka tidak terlanda adat
Supaya mereka tidak tersia-siakan orang
Upah-upah dilantunkan bekal tak tersukat

Namun sebagaimana amalan kebudayaan lain, pupah menuju pupus. Pertamanya akibat Islamisasi yang menolak amalan yang kononnya bercampur dengan perkara kurafat. Segala yang kurafat ini pula ditentukan bukan oleh masyarakat tetapi oleh sebilangan kecil orang yang diberi kuasa – autoriti. Maka pupah ikut pupus sebagaimana ulik mayang, manora dan main puteri atas nama menjernihkan faham agama.

Ritual kebudayaan ini juga berdepan tentangan daripada proses pemodenan yang mengimani doktrin positivism – segala-galanya mesti ‘saintifik’ dan berdasarkan pembuktian atau empirikal. Sebagaimana maklum, positivism yang diasaskan oleh Auguste Comte (1798-1857) banyak mendominasi faham sains kemasyarakatan dan pembangunan bukan sahaja di negara ini, malahan di banyak bahagian lain dunia juga dalam semua lapangan sains sosial.

Apatah lagi ketika zaman pemerintahan Mahathir, faham positivism ini amat kuat dalam analisis Mahathir berkenaan kemajuan. Bagi Mahathir, tanpa meninggalkan amalan yang pada beliau ‘tahyul’ dan ‘kurafat’, dan mula memeluk kepercayaan berasaskan rasional saintifik, masyarakat Malaysia, khasnya Melayu, tidak akan menuju kepada kemajuan. Mahathir – mungkin kerana latar beliau sebagai seorang doktor perubatan – hampir tidak dapat melihat sisi besar kebudayaan yang bukan hanya soal pemujaan dan penyembahan semata-mata tetapi juga ingatan sejarah panjang kebudayaan yang terbancuh sejak ribuan tahun. Akhirnya, banyak unsur kebudayaan ini tertimbus di bawah bangunan KLCC yang megah.

Sedangkan seluruh dunia saat itu, mula sangsi terhadap positivism – bukan sahaja dalam sains sosial, malahan juga sains tabii – kerana sekian banyak kritik terhadap faham positivism ini yang melihat ilmu dan masyarakat sebagai satu set peraturan dan ketetapan yang statik.

Malah, banyak juga amalan yang sebelum ini dikatakan tahyul dan tidak saintifik ini mula mendapat layanan sebagaimana ilmu yang saintifik. Umpamanya dalam kaedah perawatan di hospital telah ada ‘rawatan alternatif’ yang menawarkan tabib Cina, herba dan urutan sebagai satu daripada kaedah penyembuhan.

Demikian juga dalam perkembangan sains sosial termasuk di Malaysia yang tidak mahu terus-terusan terjebak dalam pengumpulan data empirikal dan penghujahan saintifk, pemikir seperti Alatas, meminjam kata Azhar Ibrahim, meneroka ranah kajian sains sosial yang bersifat diagnostik-rekonstruksi tanpa kemaruk untuk menjelaskan apa jua fenomena dengan segala konseptual teorikal serta ukuran empiris.

Nilai yang dahulunya kolot dan difitnah sebagai punca kemunduran oleh orientalis mula disemak dan dipermasalahkan kembali.

Pengkaji seperti James C. Scott turut membentangkan bagaimana sebarang pembangunan akan gagal jika tidak memperhitungkan amalan budaya tempatan. Malah, James C. Scott telah pergi lebih jauh daripada itu dengan menghujahkan bagaimana amalan budaya juga mampu untuk menjadi asas pembangunan serta alat perlawanan yang progresif.

Budaya tidak lagi dinilai semata-mata sebagai seni tarian lilin dan anyaman rotan semata-mata. Dunia mula kembali menggali kebudayaan yang mereka tinggalkan atas nama kemodenan.

Akan tetapi kita juga tidak harus bersikap simplistik, dogmatik, binari dalam persoalan ini. Meskipun dunia kian menolak naratif besar, tidak semua amalan yang mengatasnamakan budaya itu benar-benar jujur.

Saya, sebagaimana kebanyakan rakyat Malaysia, amat terganggu dengan tindakan seorang yang mengaku bomoh bersama pembantunya yang kononnya mahu membantu mendapatkan petunjuk berkenaan kehilangan MH370.

Rasa terganggu saya itu bukan kerana saya menolak amalan yang tidak bersifat empiris dan rasional tetapi atas dua sebab yang amat mencolok.

Pertamanya, tindakan ‘bomoh’ yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati (entah apa dosa buaya itu tiada yang tahu) yang sangat ceroboh, kasar, bongkak dan tidak berbudi bahasa (cultured). Apakah ‘ritual’ beliau menggunakan teropong buluh, bubu, kelapa dan tikar itu merupakan satu simbolism atau hanya cara memperdaya semata-mata? Sebagai bandingan saya boleh menikmati upacara pupah yang penuh mistik, halus dan penuh metafora tetapi tidak terhadap tindakan bomoh ini.

Keduanya, tindakan bomoh ini menyerlahkan hipokrasi pemerintah kita selama ini yang sanggup menyelinap ke dalam rumah dan premis orang lain atas nama menjaga maruah bangsa dan kesucian agama.

Namun, sehingga artikel ini ditulis, bomoh ini masih lagi berkeliaran dengan bubunya. Keangkuhan beliau dalam saat kita berdepan dengan beban emosi yang kuat sangat menjengkelkan dan tiadanya kesanggupan daripada mana-mana bapak menteri (kecuali seorang dua) yang selama ini terpekik-terlolong mempertahankan bangsa untuk bersikap tegas dalam hal ini, tambah mendukacitakan.

Apakah barangkali sikap ceroboh bomoh ini merupakan cerminan terhadap amalan kebudayaan yang selama ini kita pinggir, hina dan rosakkan, sehingga yang tinggal hanya mereka yang mahu menangguk ikan di air keruh?

Saya tidak punya kesimpulan, hanya doa untuk semua – yang mendoa dan yang didoakan. – Roketkini.com