Berita

Kit Siang pertikai motif taklimat Hishammuddin hanya kepada Ahli Parlimen BN

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sepatutnya menampilkan perpaduan nasional dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbesar dalam sejarah dunia yang membabitkan pelbagai negara, bukannya mencemarkan Parlimen dengan menimbulkan perpecahan mengenai krisis pesawat Malaysia Airlines MH370.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, lebih 100 kapal, helikopter dan pesawat terbang, selain sistem radar daripada 26 negara terbabit dalam misi SAR dalam dua wilayah seluas 2.24 juta batu persegi (sekitar 7.68 kilometer persegi) dari selatan Lautan Hindi hingga ke Kazakhstan di utara bagi mencari pesawat Boeing 777-200 yang hilang itu sejak 12 hari lalu.

Katanya, operasi yang terbesar pernah disaksikan dunia iaitu lebih 250 jam dan kesuntukan masa untuk menemukan kotak hitam pesawat berkenaan dalam tempoh hanya 18 hari kerana kotak hitam berupaya memancarkan isyarat cuma selama 30 hari.

“Ketika Malaysia mengharapkan masyarakat dunia bersatu dalam operasi itu, rakyat Malaysia, khususnya Parlimen seharusnya menampilkan perpaduan, bukannya menampilkan perpecahan di mata dunia.

“Malangnya, inilah yang dilakukan Hishammuddin apabila mengadakan majlis taklimat mengenai pesawat MH370 yang hilang itu hanya untuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Hotel Aloft, Kuala Lumpur Sentral, malam kelmarin – tanpa menghiraukan akibat tindakan itu yang menyebabkan dunia melihat Parlimen Malaysia berpecah kepada dua kem dalam misi itu,” katanya dalam kenyataan di Parlimen, semalam.

Menurut Kit Siang, beliau sudah mengingatkan beliau supaya tidak bersikap berpihak dengan hanya memberi taklimat kepada Ahli Parlimen BN, bukannya kepada semua Ahli Parlimen Malaysia.

Beliau berkata, Hishammuddin sendiri tahu bahawa tindakan beliau itu salah dan tidak wajar sebab itu memberi alasan lemah bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak meminta agar taklimat turut diberikan kepada mereka.

“Pakatan Rakyat sudah menyuarakan kebimbangan mengenai nasib 239 penumpang dan anak kapal MH370. Malah, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga sudah meminta supaya perbahasan tergempar di Parlimen diadakan mengenai krisis MH370 menurut Arahan Tetap 18(1) Dewan Rakyat, tetapi usul itu ditolak.

“Jemputan ke taklimat MH370 hanya untuk Ahli Parlimen BN itu telah dikeluarkan Hishammuddin itu menimbulkan persoalan sama ada acara itu adalah acara Kelab Penyokong BN (BNBBC) atau acara rasmi Kementerian Pengangkutan.

“Berapakah kos acara yang diadakan di hotel mewah Aloft itu dan adakan ia ditanggung pembayar cukai menerusi Kementerian Pengangkutan atau oleh BNBBC?

“Mengapa taklimat itu tidak diadakan di Bangunan Parlimen meskipun ia “hanya untuk Ahli Parlimen BN”? Kos penganjurannya di Parlimen sudah tentu jauh lebih rendah berbanding kos penganjuran di dewan utama hotel mewah itu,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Ahli Parlimen BN Beluran dan Timbalan Speaker, Ronald Kiandee dilaporkan menyebut taklimat Hishammuddin itu tidak mengandungi penambahan kerana semuanya disebut dalam taklimat harian diulangi malam kelmarin. Tiada maklumat baru atau arahan khusus diberikan.

Katanya, Hishammuddin mengakui hanya mengemaskini kepada BNBBC mengenai urutan peristiwa dan tidak menyampaikan maklumat sulit melampaui segala yang boleh didedahkan pasukan penyiasat dan sudah didedahkan kepada umum.

Menurut beliau, jika tiada perkara baru yang disampaikan dalam taklimat itu, apa gunanya taklimat kepada Ahli Parlimen BN itu diadakan sedangkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, CEO MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia turut diheret sama ke majlis itu.

“Saya sendiri tidak ingin menghadiri taklimat Hishammuddin jika beliau hanya hendak mengulang perkara yang sudah diumumkan.

“Hishammuddin sepatutnya menerajui usaha kerajaan di Parlimen untuk membolehkan semua Ahli Parlimen BN dan PR memainkan peranan, bukan saja untuk menyokong penuh misi SAR, tetapi juga mengadakan siasatan penuh ke atas tragedi MH370, termasuk menyelidiki kontroversi dan kekeliruan yang timbul.

“Dalam ucapan di Parlimen Khamis lalu, saya telah mengesyorkan supaya Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Bencana ditubuhkan segera untuk menyokong misi SAR serta menyiasat selepas operasi berkenaan bagi menjawab semua persoalan berkaitan tragedi MH370.

“Apakah Hishammuddin sanggup menerajui usaha kerajaan di Parlimen dan menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen itu, termasuk menyokong pindaan ke atas usul ucapan terima kasih Titah Diraja yang sedang dibahaskan di Parlimen untuk membuka laluan kepada pembentukan jawatankuasa berkenaan,” soalnya. – Roketkini.com