Berita

DAP cadang bantuan tahunan kepada pesara askar tanpa pencen

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Ahli Parlimen DAP Kampar, Ko Chung Sen menggesa kerajaan memberi bantuan kewangan tahunan kepada pesara askar tidak berpencen yang banyak berkorban demi keselamatan negara.

Pada sidang media di Parlimen, beliau berkata, banyak permintaan daripada pesara askar agar kerajaan memberi bantuan kewangan, terutama berikutan kenaikan kos sara hidup yang mendadak.

“Kira-kira 234,000 bekas askar yang tidak berpencen, kerana tidak berkhidmat melebihi 21 tahun.

Ramai antara mereka sukar mendapat pekerjaan, apatah lagi mendapatkan gaji yang baik. Mereka akhirnya terpaksa kerja sebagai pemandu van dan pengawal keselamatan,” katanya.

Dalam soalan kepada Kementerian Pertahanan, beliau meminta kerajaan meneruskan bantuan kewangan kepada bekas askar tidak berpencen yang terbeban dengan kenaikan harga barang.

Malangnya, Kementerian dalam jawapannya berkata, bantuan itu tidak akan diteruskan.

“Kerajaan kata pesara boleh minta bantuan daripada Skim Sara Hidup JHEV (Jabatan Hal Ehwal Veteran). Namun, hanya mereka yang berusia lebih 65 tahun atau kurang upaya layak memohon,” katanya.

Dalam Bajet 2013, kerajaan memperuntukkan RM224 juta kepada Kementerian Kewangan bagi Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M).

“Pada Februari 2013, bantuan ‘one-off’ SVTB1M diberikan. Setakat Ogos 2013, hanya 90,000 pesara memohon dan terima sumbangan sebanyak RM1,000 itu.

“Maka ada baki RM134 juta yang boleh dibawa ke tahun ini. Janganlah beri bantuan ketika pilihan raya sahaja,” katanya lagi. -Roketkini.com