Berita

Rogol bawah umur: Wan Junaidi putar belit statistik untuk hina bukan Melayu

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar sengaja menyakitkan hati orang bukan Melayu dengan menyalahgunakan statistik kes rogol bawah umur, kata Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar.

Beliau mengulas tuduhan Wan Junaidi semalam, bahawa orang bukan Melayu kononnya kurang sensitif terhadap masalah rogol bawah umur, berbanding orang Melayu beragama Islam.

Ia berikutan statistik terbaru menunjukkan kes itu jauh lebih tinggi membabitkan orang Melayu (80 peratus) berbanding Cina (4.3%), India (2%) dan kaum lain (13%).

“Timbul rasa tidak puas hati, kecewa dan marah oleh orang bukan Melayu. Ia adalah satu kenyataan yang boleh dianggap dengan sengaja menghina orang bukan Melayu.

“Beliau tuduh orang bukan Melayu tidak sensitif, (kononnya) banyak kes berlaku tetapi tidak dilaporkan. Ia seolah-olah tunjukkan orang bukan Melayu tidak bermoral dan tidak peduli dalam isu itu,” katanya pada sidang media di Parlimen tadi.

Katanya lagi, ia jelas satu tuduhan liar yang nyata berniat buruk.

“Beliau memanipulasikan statistik untuk kepentingan politik. Sesiapa pun akan buat laporan polis jika hadapi kes sebegini,” katanya lagi.

Memetik laporan Malaysiakini, Wan Junaidi berkata, “orang Melayu sensitif sangat dengan kes seks di antara belia, maka laporan mesti dibuat…pihak lain mungkin kurang sensitif”.

“Perkara itu boleh diterima oleh pihak lain yang nisbahnya lebih di bawah dan turun sedikit berbanding angka di balai polis”, katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Wan Junaidi agar segera memohon maaf kepada orang bukan Melayu berhubung kenyataan yang berbau perkauman dan tidak berasas.

“Beliau kena minta maaf serta merta. Saya juga beri amaran agar tidak lagi dengan sengaja timbulkan isu perkauman yang sensitif,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa agar masalah ini tidak dilihat melalui perspektif kaum, sebaliknya sebagai masalah negara yang perlu ditangani semua pihak. – Roketkini.com