Berita

Taklimat MH730: Alasan Hishammuddin tidak jemput MP Pakatan Rakyat tidak masuk akal

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Pakatan Rakyat membidas alasan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dijemput ke taklimat isu kehilangan pesawat MH370 kerana ‘tidak memintanya’.

Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sememangnya menjadi peranan Hishammuddin selaku menteri untuk memberikan penerangan berhubung isu di bawah tanggungjawabnya.

“Sudah menjadi tugasnya selaku menteri untuk beri penerangan kepada Parlimen. Alasannya itu sangat lemah dan tidak masuk akal”, katanya dalam satu kenyataan.

Tambahan pula, katanya, kehilangan MH370 adalah isu antarabangsa dan Pakatan Rakyat menggesa beliau agar sentiasa memberi maklumat berhubung isu itu kepada Parlimen.

“Agak pelik apabila seorang menteri tidak tahu yang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah bawa isu itu ke Parlimen, dan minta beliau sentiasa memberi maklumat terbaru.

Malangnya, katanya lagi, seorang pemimpin yang sepatutnya memberi keyakinan kepada rakyat ketika krisis gagal memahami tanggungjawab asas seumpama itu.

Kementerian Pengangkutan mengadakan taklimat khas berhubung kehilangan pesawat MH370 di Hotel Aloft Sentral, di sini, semalam.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Tan Kee Kwong meminta Hishammuddin agar tidak mempolitikkan krisis ini.

“Jangan main politik. Alasan tidak buat permintaan bukan satu isu. Walhal, kita sebelum ini sentiasa beri kenyataan dan suarakan keprihatinan mengenai isu ini.

“Negara banyak dikritik pihak antarabangsa kerana kelemahan (hadapi krisis). Jangan tambah memalukan negara,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini. -Roketkini.com