Berita

Menteri BN biadab dakwa bukan Melayu terima rogol bawah umur – Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 19 MAC: DAP mencabar Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan dengan jelas apakah asas yang membolehkan beliau mendakwa orang bukan Melayu kurang sensitif terhadap kes rogol bawah umur.

Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, dakwaan itu adalah satu penghinaan kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa Malaysia sebuah negara yang menerima perogolan kanak-kanak.

“Beberapa laporan polis yang menunjukkan peratusan rendah bukan Melayu dalam kes rogol bawah umur tidak boleh menyokong faktor kaum sebagai relevan penggunaannya, ia juga tidak bererti bukan Melayu kurang sensitif mengenainya.

“Jadi ia jelas merupakan kenyataan biadap, tidak bertanggungjawab dan keterlaluan. Beliau perlu menunjukkan bukti yang menyokong dakwaannya itu.

“Bolehkah Wan Junaidi menunjukkan kepada kami bagaimana kebanyakkan kes rogol itu berlaku dan tidak dilaporkan sehingga sekarang kerana pihak terjejas adalah hanya daripada kaum tertentu yang ‘kurang sensitif’ dan ‘boleh menerimanya’,” soalnya.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan itu turut memohon Wan Junaidi menarik balik dakwaan liarnya itu dan segera memohon maaf. -Roketkini.com