Rencana

Sehari dalam kehidupan seorang penyelidik Parlimen Oleh Sharon Ling

SETIAP hari masa bergerak pantas di pejabat.

8.30 pagi, Isnin suram di Ibu Pejabat DAP di Pudu. Saya hidupkan laptop, kemudian buka web browser, enam tab semuanya. Emel ofis. Emel kedua. Facebook. Facebook Page. Mesej Facebook Page. Twitter. (Sekurang-kurangnya, dalam bidang kerja ini, media sosial sebahagian daripada tugasan sebenar).

Saya terpandang longgokan surat khabar di sebelah. The Star. New Straits Times. Malay Mail. Berita Harian. Utusan Malaysia. Saya imbas berita-berita utama, semak jika ada yang berkaitan dengan majikan saya, atau Serdang.

Bunyi ‘bip’ daripada laptop tak henti-henti. Emel menunggu untuk dibaca, dan lebih banyak lagi akan menderu masuk – siri aduan tentang jalan berlubang, banjir, hak pemilikan tanah, masalah lalu lintas, kutipan sampah. Semua ini bagaimanapun menjadi ‘masalah kecil’ berbanding rungutan yang paling kuat kedengaran baru-baru ini mengenai ketiadaan bekalan air di Balakong yang sudah berlarutan seminggu.

Telefon saya bergetar. Perbualan Whatsapp antara majikan saya, team lokasi di Serdang, dan ADUN Balakong, Eddie Ng. Krisis bekalan air seperti tiada penyelesaian. Beberapa kawasan tidak dapat bekalan air. Ada yang sudah 3 hari, ada yang 5 hari, ada yang berlarutan seminggu. Penduduk tempatan bengang dan tidak senang duduk – mereka berhak. Sesuatu perlu dilakukan secepat mungkin.

Telefon bergetar lagi. Keputusan sudah dibuat. Team lokasi akan mengiringi ahli majlis MPKJ bermula 5 petang hingga tengah malam. Mereka bergerak dari taman ke taman dengan lori tangki air yang dipinjam. Saya sahkan jadual dan tempat agihan air. Kemudian maklumkan melalui Facebook Page. Maklum balas pantas daripada penduduk tempatan – ada yang memaki SYABAS, ada yang merayu agar agihan air ke taman perumahan mereka, ada yang merungut, dan selebihnya menarik nafas lega dan berterima kasih.

Masa terus bergerak. Emel tak putus-putus. Majikan saya sedang lincah beraksi, keluarkan tiga kenyataan media dalam dua hari. Satu mengenai kepincangan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS). Satu mengenai cadangan Akta Keterangkuman Sosial untuk tangani kemiskinan dan rakyat terpinggir. Satu lagi mengenai peletakan jawatan P Waythamoorthy, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kenyataan media itu perlu diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin sebelum dimuat naik di laman web dan Facebook Page.

Bunyi bip lagi. Tentang permohonan kajian. Majikan saya menganjurkan perbincangan mengenai isu reformasi pendidikan. Kami perlu bentangkan kes kajian untuk dibincangkan. Kami perlukan maklumat mengenai autonomi dan desentralisasi pendidikan sekolah di Singapura – berapa banyak ruang kebebasan yang mereka ada dalam hal ehwal pengurusan, kewangan, guru, pelajar dan kurikulum. Apakah ia boleh dilaksanakan di Malaysia? Saya buat nota senarai tugasan.

Kemudian, saya menerima mesej pertanyaan mengenai bantuan kebajikan, daripada seorang ibu muda kepada 3 anak yang baru masuk tadika. Ibu muda itu bergantung pada gaji kerja-sambilan. Hal ini membawa saya kepada perbualan atas talian dengan pembantu  Tony Pua dan pembantu Wong Chen. Kami sama-sama mencari penyelesaian. Saya buat senarai dua muka surat panjang, dengan butiran kebajikan dan kelayakan yang boleh dia terima. Saya juga cadangkan kepada ibu muda itu agar meminta khidmat nasihat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Senyap seketika – kemudian ucapan pendek ‘terima kasih’ yang disusuli smiley tertera pada skrin. Dalam hati, saya doakan dia berhasil.

Seterusnya, jemputan program – taklimat pagi Sabtu tentang isu kemiskinan dan masyarakat gelandangan, dianjurkan oleh NGO kemasyarakatan. Saya semak kalendar – sudah separuh penuh dengan notis dan RSVP untuk forum, mesyuarat, taklimat dan sesi. Saya buat keputusan untuk luangkan masa, klik butang ‘yes’.

Jam loceng telefon berbunyi – 5.30 petang. Saya pulang rumah berehat. Pukul 8 malam, saya hidupkan laptop semula, dan mula buat draf pembentangan mengenai pembaikan sistem pendidikan di Singapura dan Malaysia.

Tengah malam saya tidur.

Esok, semuanya akan bermula semula.

**********************************

6 petang di Parlimen. Hari Khamis.

Baju T kempen PRU-13 kami dulu mengikut tema warna logo parti, dengan perkataan ‘TeamOKM’ yang terpampang di depan. Di bahagian belakang, slogan ‘In For The Long Run’. Tujuh bulan selepas PRU-13, slogan itu menjadi kebiasaan. Majikan saya seperti pelari marathon dengan langkah tegap menuju koridor Parlimen, pentas ceramah, mendaki tangga ke pejabat pusat khidmat, ke masjid dan gereja, pasar dan dewan komuniti, kedai dan rumah. Kasut tumit tinggi yang saya selalu pakai saya tukar dengan kasut sukan untuk mudahkan saya mengikut rentak, dalam setiap situasi.

Majikan saya ada pelbagai watak – ahli parlimen, penyelidik, tukang kempen, pendana, orang tengah, perunding, pekerja sosial dan macam-macam lagi. Ahli pasukan perlu ikut rentaknya. Kalau pada hari tertentu saya semacam perlu lari pecut, minggu berikutnya lari jarak jauh, dan tiga atau empat tahun kemudian seperti marathon. Kelajuan perlu konsisten, setiap langkah diatur kemas, mata tepat diarah pada gelaran juara.

Kini, tujuh bulan selepas PRU-13, tak banyak yang berubah. Telefon dan Facebook saya dipenuhi mesej kekecewaan. Pensabitan Karpal Singh pada isu hasutan. Pensabitan Anwar untuk kes liwat. Saya telusur kekecewaan, kemarahan dan penderitaan itu satu persatu. Seorang kawan tanpa pendapat saya. Saya balas dengan ringan dan bersahaja, walaupun dalam hati saya lemas: “Benda (mengarut) sama, waktu yang berbeza.”

Saya fikir semula kajian team kami mengenai Belanjawan 2013 dan Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan 2011 – hampir tiga minggu menggali dan menyusun angka, menganggar lebihan belanja dan pembaziran, berjumlah berjuta-juta dan berbilion-bilion. Keputusan akhir: ringkas, tajuk rapi di laman berita, yang kemudian dilupakan begitu saja dalam kelajuan dunia digital. Seperti titisan air yang jatuh ke dalam lubang tanpa dasar.

Kami pulang dan saya berjumpa dengan majikan. Hari yang produktif di Parlimen baginya – menyanggah salah guna kuasa polis yang menahan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, membela Major Zaidi Ahmad yang dibicarakan di mahkamah tentera kerana melapor mengenai masalah dakwat kekal PRU-13, membantah sistem Penilaian Berasaskan Sekolah, dan menyarankan pengenalan Akta Keterangkuman Sosial. Dia berucap panjang di depan audiens kecil yang terdiri daripada MP; kalau nasib menyebelahi kita, beberapa orang akan baca teks ucapan itu di laman web dan Facebook Page atau laman lain.

Dalam masa sama, perdebatan dengan Menteri Kesejahteraan Bandar yang membela pembinaan tempat pembakaran sampah di Kepong beterusan. Majikan saya mengeluarkan kenyataan media sejak Januari, hasil kajian teliti, perjumpaan dan perbincangan bersama warga yang peduli, serta melawat tapak pembinaan. Maklum balas terbaru Menteri terbabit bukan saja menolak bantahan majikan saya tapi juga menghina dengan menyuruh majikan saya “pergi google tentang betapa selamatnya insinerator di Jepun’ – yang mana kemudian majikan saya dengan pantas memberi jawapan balas yang pedas.

“Dia ada jawab balik?” saya tanya. “Tak ada,” jawab majikan saya sambil geleng kepala.

Saya angkat bahu. Hidup perlu diteruskan.

Minggu depan, semuanya bermula lagi.

***************************

Perlukan tahap kesabaran tertentu untuk bekerja dalam bidang politik atau perkhidmatan awam. Apatah lagi sebagai Pembangkang di Malaysia. Gaji tidak sebesar mana, sekadar cukup. Waktu kerja panjang, masa depan tidak menentu. Setiap hari ada peluang dan juga krisis. Ada naik turun, tinggi rendah, susah dan senang, peluh dan air mata. Terlalu banyak cabaran kerja, yang boleh digambarkan dengan mempertimbangkan sumber terhad dan operasi minimal.

“Ini DAP, kami tak ada laptop spare untuk anda,” pengurus IT pejabat kami bergurau dengan pelatih saya pada hari pertama mereka masuk tanpa bawa apa-apa peralatan. Jika kerjanya sederhana, begitu juga ganjarannya – ucapan terima kasih, rasa lega setelah satu-satu krisis dilepasi, bangkitkan isu, selesaikan kes, jumpa sekutu baru, detik kemenangan, bisikan perlahan dalam hati, bahawa sesuatu, akhirnya diselesaikan dengan cara yang betul.

Saya teringat perbualan dengan seorang daripada pelatih kami, mengenai kualiti penting dalam kepimpinan. “Komitmen,” saya kata. “Teguh berdiri sampai ke penghujung untuk lihat sesuatu diselesaikan. Bukan hanya mengatakan sesuatu, tapi melakukan sesuatu dan memastikan ia dilaksanakan.” Untuk berharap hari esok yang lebih baik ada dalam naluri setiap manusia; mungkin, untuk beri komitmen adalah untuk sedar bahawa sebuah impian perlukan lebih daripada itu. Untuk sesetengah orang, ia adalah seruan untuk pembabitan.

Kesungguhan untuk melihat perspektif dalam kegilaan dan betulkan keadaan. Untuk melihat diri berkongsi kepedulian yang sama dengan massa. Untuk melihat politik dan perkhidmatan awam sebagai satu cara, bukan penghujung, yang mana kebenaran dan kasih sayang diperjuangkan. Untuk hubungkan suara hati dengan tindakan, kewujudan dan perbuatan, mengeksperesikan rasa peduli dengan berkhidmat, kewarganegaraan yang disertai keterlibatan – untuk mengatakan benar yang diredam.

Saya teringat hari-hari saya di tempat kerja. Sebagai satu daripada peralatan untuk sebuah roda, tentunya; tapi roda yang wujud di antara roda lain, besar dan kecil, bahagian kecil pada sebuah mesin tua berkarat bernama ‘Demokrasi’ yang perlahan-lahan mula tersekat-sekat setelah berdekad dicemar dan disalahgunakan. Mungkin satu hari nanti, dengan menyapu minyak gris dan usaha berterusan, mesin itu akan berjalan lebih lancar, memberi kehidupan yang lebih mudah untuk semua orang. Saya fikir peralatan lain – pemikir, penceramah, penulis, mereka yang diberi amanah untuk menjaga, mereka yang diberi kuasa untuk bertindak, orang-orang muda dan tua, lelaki dan wanita dengan nurani yang saya tahu – yang dalam cara mereka sendiri bekerja untuk memastikan mesin itu berjalan.

Saya fikir mengenai pilihan yang dibuat dan saya putuskan untuk melakukan semuanya sekali lagi jika diberi peluang. Tak ada masa yang lebih baik daripada sekarang. Untuk menjadi sebahagian daripada semua ini.

Esok, semuanya bermula

Sekali lagi.

SHARON LING adalah Penyelidik Parlimen bagi YB Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang.

Diterjemah daripada tulisan asal berbahasa Inggeris oleh Wahyudi Yunus. – Roketkini.com