Berita

Selamat ulangtahun ke 48 DAP

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Tanpa dokongan kuat daripada penyokong dan rakyat, DAP tidak mungkin akan mampu berdiri sehingga ke tahap yang dicapai kini, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Walaupun keahlian DAP sangat kecil berbanding pemerintah yang mempunyai berjuta-juta ahli, namun sokongan hebat dari rakyat telah berjaya menguatkan kami untuk meneruskan perjuangan.

“DAP hadir sebagai sebuah parti kecil yang percaya kepada cita-cita ‘Malaysian Malaysia’.

“Kita mendapat banyak halangan di tahun-tahun awal penubuhan, bermacam tuduhan dilemparkan tapi kepayahan dan kesukaran itu perlahan-lahan diatasinya kerana keyakinan bahawa cita-cita akhinya akan menggerakkan sebuah gunung,” katanya dalam majlis ringkas sempena Ulang Tahun ke 48 di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, semalam.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu juga menyatakan, walaupun sudah berusia 48 tahun, DAP sehingga saat ini tetap teguh dengan prinsipnya memperjuangan keadilan dan kebebasan serta tidak akan berganjak walau seinci pun demi kemakmuran rakyat.

“DAP tetap teguh dengan matlamat itu, walaupun ia masih belum sepenuhnya diraih. Kami akan meneruskannya dengan usaha yang lebih gigih tanpa mengira penat atau lelah.

“Saya menghargai seluruh tenaga kerja yang turut terlibat dalam perjuangan ini. Ia bukan semata-mata komitmen saya seorang, tapi komitmen kita semua.

“Setiap perkara yang kami lakukan semuanya direka bentuk untuk menjadikan negara ini lebih baik dan sekiranya Malaysia menjadi satu tempat yang baik kepada semua, maka itu adalah kejayaan kita bersama,” ujarnya. – Roketkini.com