Berita

PR gesa Dewan Rakyat terima usul tubuh PSC, siasat MH370

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Pakatan Rakyat (PR) sudah menghantar satu notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin supaya segera menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) berhubung kehilangan pesawat MH370.

Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, usul yang tertakluk mengikut Peraturan Mesyuarat 26 (1) (a) dan 30 (1) itu akan membolehkan pindaan dibuat terhadap perbahasan Titah Diraja yang kini sedang berlangsung.

Menurutnya, penubuhan PSC adalah relevan kerana Yang diPertuan Agong, Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah sendiri dalam titahnya 10 Mac lalu turut menyebut mengenai misteri kehilangan pesawat itu.

“Kami menggesa Ahli Parlimen BN dan Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) untuk turut menyokong usul ini supaya kerajaan boleh membuat keputusan segera bagi menubuhkan PSC.

“Ia akan menghantar mesej jelas bahawa Parlimen yang mulia ini dan ahlinya adalah melangkaui perbezaan politik dalam isu penting membabitkan negara,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan itu turut menyatakan persetujuannya terhadap kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong BN, Tan Sri Shahrir Samad yang mahu PSC dimulakan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selesai.

“PR tidak mempunyai sebarang masalah soal itu dan kami bersetuju untuk memulakan PSC selepas SAR selesai,” ujarnya.

Shahrir pada 19 Mac lalu menyatakan, beliau tidak menentang usaha PR untuk menubuhkan PSC tetapi ia harus dilaksanakan selepas SAR selesai kerana masih terlalu sedikit maklumat diperoleh mengenai pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pada sidang media sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan, PSC wajar diluluskan kerana ia akan dapat menyiasat dan memperjelaskan segala kekeliruan membabitkan MH370.

“Persediaan boleh dimulakan daripada sekarang dengan memantau laporan daripada pelbagai sumber. Setelah SAR selesai, PSC boleh terus memulakan tugas.

“Siapa yang menggerakkan usul ini tidak penting kerana yang paling penting adalah kita bersama-sama menyelesaikannya,” katanya. -Roketkini.com