Berita

Pemuda DAP kecam Mesir, zalim dan tidak demokratik

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pemuda DAP (DAPSY) mengutuk keras tindakan mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati terhadap 529 aktivis Ikhwanul Muslimin atas tuduhan menyerang dan membunuh anggota polis.

Ketuanya, Teo Kok Seong berkata, hukuman yang dijatuhkan bukan saja zalim, malah membelakangkan prinsip demokrasi.

“Di saat rakyat seluruhnya sedang bersedih tentang bencana yang menimpa pesawat MH370, kita juga harus ingat dan berdoa ke atas nasib rakan-rakan di Mesir.

“529 aktivis ini telah disabitkan dengan dakwaan kesalahan melalui proses perbicaraan yang berat sebelah. Kami menolak segala bentuk kezaliman dan akan terus memberikan tekanan kepada Kerajaan Mesir supaya menyemak serta menarik semula hukuman,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Bantahan dan Serahan Memorandum di Kedutaan Mesir, tengah hari tadi.

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yang mengetuai himpunan pula kecewa dengan sikap Kedutaan Mesir yang langsung tidak ambil peduli untuk menerima memorandum dan mengarahkan ia diletakkan dalam peti pos sahaja.

“Kita kecewa dengan layanan mereka. Kita dilayan seperti binatang dan hanya dibenarkan untuk meletakkan nota bantahan di dalam peti pos.

“Inilah lambang negara (Mesir) yang tidak demokratik dan menindas rakyat,” kesalnya.

Seramai hampir 1,000 orang menyertai protes yang bermula di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak menuju Kedutaan Mesir.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan NGO termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia turut hadir menyatakan sokongan.

Selasa lalu, hakim di Selatan Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 anggota Ikhwanul Muslimin. Mereka telah dijatuhkan hukuman mati didakwa atas pelbagai dakwaan termasuk melancarkan serangan ke atas balai polis dan menyebabkan kematian anggota polis. – Roketkini.com