Berita

Karpal Singh letak jawatan Pengerusi DAP

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Karpal Singh membuat keputusan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan hari ini.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman denda RM4,000 kepadanya di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut Akta Pertubuhan 1966, individu yang dihukum denda lebih RM2,000 atau penjara lebih daripada setahun dilarang memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar.

Beliau melepaskan jawatan itu sementara menunggu rayuannya yang telah difailkan di Mahkamah Rayuan.

“Berikutan denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mac lalu, di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948, satu akta lapuk dan tidak lagi relevan, juga Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan 1966, satu lagi warisan buruk daripada penjajahan British,

“Saya tidak lagi boleh – selagi hukuman itu tidak dibatalkan – kekal sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan. Maka, saya umumkan untuk mengundurkan diri daripada jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, beliau tidak akan sama sekali merayu Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengecualikannya daripada peruntukan Akta Pertubuhan itu.

“Saya tidak akan jatuhkan maruah saya dengan memohon pengecualian daripada ROS daripada peruntukan itu. Saya akan serahkan kepada Mahkamah Rayuan untuk menentukannya,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu lagi.

Karpal telah menjawat jawatan Pengerusi Kebangsaan sejak 4 September 2004. Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Tan Kok Wai akan memangku jawatan itu selepas ini.

Peguam terkemuka itu dijatuhkan hukuman di bawah akta yang mengekang kebebasan berpendapat tersebut hanya kerana memberi pandangan daripada sudut undang-undang, berhubung rampasan kuasa kerajaan Pakatan Perak pada 2009.

Selepas dijatuhkan hukuman 11 Mac lalu, beliau tetap dengan pendiriannya dan berkata bahawa beliau hanya menjalankan amanahnya kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen. – Roketkini.com