Sastera

Zine komik Yak Bok Te, kartun generasi Z! – Oleh Hafiz Zainuddin

RAKAMAN masa bukan hanya dalam kitab sejarah, filem atau dokumentari. Luahan cinta bukan sekadar pada lembaran teks WhatsApp atau lafaz bibir.

Protes tak semesti atas jalan raya. Begitu sang pelukis, dia tidak semesti seorang perokok! Segala rasa dan pengalaman akan dirakam melalui warna dan lorekan. Sayugia, tidaklah perlu disusahkan apa yang senang, dipayahkan lagi apa yang susah.

Ini, bukan cerita pasal sebuah kanvas dengan cat minyak atau jilid kitab yang tebal kerana segala rasa mual telah dimuntahkan pada setiap watak yang comel.

“Yak Bok Te” sudah masuk jilid kedua! Ini yang saya maksudkan. Penampilan cetusan rasa, idea dan bebelan kartunis bernama Amin Landak.

Zine komik ini sarat dengan rakaman realiti masyarakat, politik dan semesti bukan seorang facebooker yang tak henti-henti berkhutbah fasal dosa pahala.

Apa maksud “Yak bok Te”? Menurut Amin, ia adalah perkataan yang diambil daripada dialek Kelantan yang tidak mempunyai maksud tapi sering digunakan ketika melatah atau terkejut.

Contohnya penggunaan “Ek eleh..” yang kalau digunakan betul pada tempatnya akan menghasilkan maksud.

Idea pada kartun dan karakter dalam Yak Bok Te mempunyai identiti yang kuat. Ia sungguh mengingatkan saya kepada seorang kartunis ulung negara ini Lat atau nama sebenar Mohammad Nor Khalid.

Saya membesar dengan komik-komik Lat. Bersyukur juga rasanya kerana ayahanda saya peminat beliau. Bukan sekadar Lat, ayahanda saya juga pembaca tegar Gila-Gila.

Lat berjaya diangkat sebagai pemotret masyarakat dan politik negara ketika itu dalam bentuk kartun yang benar-benar ada jiwa buat saya seperti dalam Budak Kampung, Town Boy dan Lots More Lat.

Ia jauh untuk saya bermaksudkan kartun ini hebat atau tidak, itu bukan wacananya di sini. Pendek kata, saya jatuh cinta dengan kartun Lat sama seperti saya jatuh cinta dengan kartun Amin meski idea dan latar belakang dimensi kartunis ini berbeza.

Saya bertemu Amin dalam sebuah acara muda-mudi baru-baru ini. Dia dan beberapa teman kartunis indie lain membuka sebuah booth menjual banyak lagi judul zine komik.

Nampaknya, penghasilan zine negara ini sudah pun berevolusi melangkaui scene muzik bawah tanah satu ketika dulu.

Ia satu perkembangan menarik. Kira saya, zine komik Amin ini satu lagi usaha murni kategori melawan non-partisan melalui kartun selepas ledakan fahaman Zunarisme dan Ronasinaisme.

Bagaimanapun, seperti yang saya katakan, Amin tidak menumpu seluruh idea dan tenaganya melorek perihal politik yang takkan sudah.

Beliau seperti kita, berlegar dalam gelisah masyarakat moden yang terperangkap dalam tempurung kepala masing-masing. Amin merakam gelagat masyarakat pelbagai rencam dalam bentuk sinikal sesuai dengan citarasa generasi Z pasca Amerika, Ridhuan Saidi.

Anda takkan kecewa memiliki Yak Bok Te kerana ia bukan naskhah kelas intelektual tipikal konservatif. Sudah saya katakan, ini adalah zine komik generasi Z!

Yak Bok Te boleh didapati langsung menerusi https://www.facebook.com/pages/Yak-Bok-Te/593747667340946 Selamat ketawa!-Roketkini.com