Berita

Cadang sistem pilihan raya berasaskan kaum, DAP gesa Shahidan Kassim letak jawatan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim segera meletakkan jawatan kerana mencadangkan pilihan raya dijalan menerusi sistem berasaskan kaum seperti era Aparteid di Afrika Selatan.

Beliau berkata, kenyataan Shahidan itu jelas menunjukkan beliau dan kerajaan masih memandang perkauman sebagai agenda utama untuk mengekalkan kuasa.

Pagi tadi, Shahidan mencadangkan pilihan raya Malaysia dijalankan menerusi pecahan kaum untuk kononnya mengukuhkan keharmonian negara kerana sistem sedia ada tidak menggambarkan keadilan.

“Sistem mengikut pecahan kaum yang dicadangkan Shahidan iaitu ‘Satu Undi, Satu Manusia, Berdasarkan Kaum’ merupakan amalan di Afrika Selatan semasa era Aparteid.

“Saya menggesa beliau meletakkan jawatan dengan segera kerana kejahilannya terhadap Perlembagaan untuk menuntut sebuah ‘Pilihan Raya Aparteid’

“Perlembagaan Persekutuan tidak langsung menyebut seseorang wakil rakyat itu harus diundi pengundi daripada kaum yang sama. Negara kita mengamalkan prinsip satu orang satu undi dan ini termaktub dalam Perkara 2 (c) Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Strategis Pilihanraya DAP menegaskan, Aparteid secara meluas dikutuk masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, Shahidan jelas menunjukkan kebodohan mengenai sistem pilihan raya termasuk fakta yang diutarakan dalam cadangan itu.

“Biar saya ingatkan Shahidan bahawa prinsip ‘satu orang, satu undi’ adalah satu standard yang diterima umum di negara demokratik.

“Kebanyakkan negara demokrasi mengamalkan sistem pilihan raya ini, menghormatinya prinsip dan undang-undangnya kerana ia menghadkan jurang perbezaan di antara pengundi di setiap kawasan. Ia juga ditekankan dalam satu daripada 22 cadangan yang diberikan dalam laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai Pembaharuan Pilihan Raya.

“Jika beliau tidak sedar bahawa ia merupakan prinsip demokrasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan ditekankan dalam PSC, maka beliau tidak layak kekal sebagai menteri,” tegasnya. -Roketkini.com