Berita

Ketepikan sabitan ke atas Karpal agar keyakinan rakyat pulih

IPOH, 1 APR: DAP Perak berharap Mahkamah Rayuan mengenepikan sabitan bersalah terhadap Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Karpal Singh dan seterusnya membolehkan tokoh itu terus menerajui parti.

“Kami harap Mahkamah Rayuan akan ketepikan sabitan itu, bagi memulihkan kepercayaan rakyat kepada institusi kehakiman yang rosak teruk, serta mengembalikan hak Karpal untuk bersuara.

“DAP Perak menyokong penuh rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Setiausaha DAP Negeri Wong Kah Woh dalam satu kenyataan.

Pada 29 Mac lalu, Karpal melepaskan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP yang dipegang sejak 2004 bagi mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan 1966 yang melarang individu yang dihukum penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000 dari memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan.

Beliau sebelum itu telah dijatuhkan hukuman bersalah di bawah Akta Hasutan 1948 dan didenda RM4,000 berikutan pandangannya berhubung rampasan kuasa BN ke atas kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada 2009.

Kah Woh yang juga ADUN Canning turut berkata, DAP Perak menyokong penuh kepimpinan tokoh veteran itu biarpun selepas beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan.

“Kami sokong kesinambungan kepimpinan saudara Karpal, sama ada ketika memegang jawatan dalam parti atau tidak.

“Perjuangan DAP dan Karpal tidak akan dapat dihentikan oleh taktik kotor BN, kami akan terus berusaha untuk Malaysia yang lebih baik, dengan rakyat sebagai tuan dan badan kehakiman yang bebas,” ujarnya. – Roketkini.com