Berita

Cadangan Shahidan Kassim akan melahirkan wakil rakyat tidak peduli rakyat

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk melaksanakan sistem pengundian berasaskan kaum akan memburukkan perhubungan antara kaum di Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming, selain melebarkan jurang antara kaum dalam negara, pelaksanaan sistem ‘satu orang, satu undi, berasaskan kaum’ juga akan melahirkan wakil rakyat yang tidak peduli tentang nasib dan pandangan kaum lain yang bukan dari kaum mereka sendiri.

“Jika wakil rakyat Melayu hanya mendapat undi dari orang Melayu, mereka tentunya hanya mewakili pandangan pengundi mereka sahaja. Begitu juga untuk wakil Cina, India, Iban, Kadazan dan lainnya.

“Ini bermakna pilihan raya tidak lagi menjadi insentif untuk wakil rakyat yang dipilih mempertimbangkan pandangan pengundi bukan dari kaum mereka sendiri,” ujarnya.

Strategis Pilihanraya DAP itu menegaskan, cadangan itu amat bercanggah dengan keadaan semasa di mana banyak wakil rakyat mewakili kawasan etnik campuran seperti Parlimen Serdang.

Penduduk Serdang terdiri 49 peratus Cina, 40 peratus Melayu, 10 peratus India dan 1 peratus lain-lain.

“Di Serdang, saya perlu mendengar pandangan dan pendapat dari semua pengundi. Jadi, jika ia tetap dilaksanakan, apakah wakil rakyat tidak perlu lagi menghadiri perayaan agama dan budaya kaum lain kerana mereka bukan pengundinya?

“Untuk apa seorang wakil rakyat Melayu melawat sebuah kuil Cina atau India atau gereja jika semua pengundinya adalah Melayu? Untuk apa wakil Cina berbuka puasa dengan Melayu di surau dan masjid jika semua pengundinya adalah Cina?” soalnya.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, iaitu Gerakan, turut membantah cadangan Shahidan kerana ia jauh tersasar dari konsep ‘Bangsa Malaysia’.

Portal The Malaysian Insider melaporkan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kong merasa “kecewa dengan Shahidan” dan menyebut bahawa sekiranya cadangan berkenaan dilaksanakan, ia akan memecah-belahkan rakyat berbilang kaum, sekaligus berlawanan dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan masyarakat. – Roketkini.com