Berita

Krisis MH370: Hishammuddin ‘lari’ ke Hawaii bukti kerajaan tidak serius

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Kerajaan ternyata tidak serius dalam menangani krisis MH370, apabila Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ‘lari’ ke Hawaii sedangkan beliau sepatutnya memberi taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membidas tindakan Hishammuddin itu yang membuktikan kerajaan BN tidak memandang serius peranan yang boleh dimainkan oleh Ahli-ahli Parlimen dalam isu malapetaka MH370.

Beliau turut melahirkan kehairanan atas tindakan Hishammuddin pergi ke Hawaii, sedangkan sesi taklimat untuk Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah diatur sejak Khamis lalu.

“Perkara ini membuatkan kami sedih dan sangat kecewa dan ini membuktikan kerajaan BN tidak serius, terutama berhubung peranan Ahli Parlimen dalam malapetaka MH370 ini,” kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Katanya lagi, tindakan itu menunjukkan betapa penting penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi menangani insiden berkenaan.

“Sebab itu perlu ada PSC. Banyak persoalan timbul, bukan sahaja mengenai apa yang berlaku dalam pesawat (yang hanya boleh dijawab) selepas kotak hitam dijumpai, ujar beliau.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan, kerajaan akan memberi maklumat terperinci kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berhubung tragedi pesawat MH370 pada sesi taklimat malam ini.

Namun, Hishamuddin telah berlepas ke Hawaii semalam untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa.

Pada 18 Mac lalu, kementerian beliau mengadakan sesi taklimat khusus kepada Ahli Parlimen BN mengenai isu itu.

Timbalan Menteri Pertahanan perlu letak jawatan

Selain itu, Kit Siang turut mendesak Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri meletakkan jawatan kerana kenyataannya bercanggah di dalam dan luar Parlimen.

Beliau merujuk kenyataan Abdul Rahim di Parlimen Rabu lalu yang menyatakan pesawat MH370 berpatah balik kerana mendapat arahan daripada pusat kawalan.

Keesokan harinya, beliau menarik balik kenyataan itu, dengan alasan ia hanya andaian.

Menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab, Kit Siang percaya kenyataan Abdul Rahim sebenarnya berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa.

“Kenyataan itu pastinya bukan hanya pendapat peribadi, tetapi daripada maklumat kakitangan kerajaan (yang terbabit dalam kes itu).

“Tak cukup hanya buat kenyataan di luar dewan untuk jelaskan, siasatan penuh diperlukan kerana ia menjatuhkan kredibiliti Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Beliau tidak bertanggungjawab dan perlu letak jawatan atau dipecat,” katanya lagi. – Roketkini.com