Berita

Banteras jenayah, bukan buru pengguna Facebook

KUALA LUMPUR, 1 APR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran supaya menumpukan perhatian terhadap usaha mencegah masalah jenayah yang berleluasa dan bukannya mengejar khabar angin di Facebook dan Twitter.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 21 Mac lalu menyatakan bahawa polis akan mewujudkan unit khas Pusat Tindak Balas Siasatan Siber untuk memburu pihak yang membuat tohmahan dan fitnah di laman sosial.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata, penubuhan unit itu tidak lebih sekadar alasan kerajaan untuk terus menyekat hak bersuara rakyat.

“Kita tahu ia akan diperalat untuk sekat rakyat secara sistematik.

“Padahal, polis sudah mempunyai bahagian untuk jenayah siber di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, selain kewujudan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya ketika ditemui di Parlimen.

Seperti biasa, alasan yang digunakan untuk penubuhannya adalah untuk “menjaga kesejahteraan rakyat dalam negara.”

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari sebelumnya, beliau turut mempersoalkan cadangan penubuhan unit khas itu yang akan dilengkapkan dengan peralatan terkini, apatah lagi dengan keadaan PDRM sekarang yang masih menghadapi masalah kekurangan anggota bagi melaksanakan tugas sedia ada.

“Menurut KPN sendiri, seorang pegawai penyiasat (IO) secara purata mengendalikan 19 kes sebulan. IO di kawasan ‘hot spot’ jenayah pula 20-30 kes sebulan.

“Laporan Tun Dzaiddin pada 2004 menyatakan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) perlukan 21,300 anggota. Sehingga kini (jumlah anggota yang ada) masih kurang 11,300,” katanya.

Sehubungan itu, Steven menyeru PDRM agar tidak meneruskan cadangan terbabit, sebaliknya menumpukan tenaga dan sumber yang ada untuk mencegah jenayah dan memperkasakan JSJ. – Roketkini.com