Berita

Pendakwaraya fail rayuan balas untuk hukuman lebih berat ke atas Karpal

KUALA LUMPUR, 4 APR: Tidak berpuas hati dengan hukuman terhadap tokoh DAP Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Peguam Negara bertindak memfailkan rayuan balas supaya hukuman terhadapnya ditambah.

11 Mac lalu, Karpal didapati bersalah di bawah akta terbabit berikutan ulasannya terhadap tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam isu rampasan kuasa kerajaan negeri tersebut pada tahun 2009.

Beliau didenda sebanyak RM4,000, menyebabkan beliau mungkin hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Pun begitu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dilaporkan menerima salinan notis rayuan yang difailkan pihak pendakwa supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap peguam berusia 74 tahun yang kini berkerusi roda itu.

Seksyen 4 akta tersebut memperuntukkan bahawa pesalah kali pertama boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau maksimum tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Ya, mereka berhak untuk memfailkan rayuan balas,” katanya, seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

“Mereka mahu saya dipenjarakan,” kata beliau yang telah turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP ekoran pensabitan terbabit yang menghalang beliau memegang jawatan parti menurut peruntukan Akta Pertubuhan.

Dalam wawancara khas bersama Roketkini baru-baru ini, beliau yang dikenali dengan gelaran ‘Harimau Jelutong’ menyatakan kesediaannya ke penjara.

“Walaupun saya pasti apa saya katakan itu tidak punya asas langsung untuk dakwaan.

“Saya cuma kata Sultan Perak boleh disaman. Pada 1993, satu mahkamah khas ditubuhkan untuk Sultan dan Raja. Jadi, apa masalahnya (dengan kenyataan itu)?” katanya.

Karpal turut berkata bahawa pilihan beliau untuk menyertai politik ibarat menyertai peperangan.

“Anda mesti bersedia untuk menghadapi akibat. Saya adalah Ahli Parlimen, dipilih rakyat, menjadi tugas saya untuk bersuara bagi pihak mereka,” tegas beliau. – Roketkini.com