Berita

DAP anjur majlis peringatan satu bulan kehilangan MH370 di seluruh negara

PONTIAN, 5 APR: Menjelang satu bulan tragedi kehilangan pesawat MH370, DAP menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bertafakur memperingati 239 mangsa nahas terbabit, demi bersolidariti bersama ahli keluarga dan sahabat handai mereka.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang mengutarakan cadangan tersebut yang bakal dianjurkan DAP di seluruh negara terutamanya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada tengah malam Isnin ini.

Bercakap dalam sidang media selepas program penanaman 500 benih bakau anjuran Impian Malaysia pagi tadi, Kit Siang berkata bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia akan turut bertafakur pada malam tersebut; terutamanya 13 negara yang terlibat dengan tragedi itu.

“Seluruh dunia, mereka yang peduli akan berdoa dan berharap, tidak kira betapa tipis pun harapan yang ada, supaya berlaku keajaiban dan 239 penumpang dan anak kapal tersebut selamat,” ujarnya yang juga Ketua Parlimen DAP.

Semalam, Kit Siang turut menggesa Perdana Menteri Najib Razak mengkhaskan hari terakhir sidang Parlimen Khamis depan untuk perbahasan mengenai tragedi MH370 serta memutuskan sama ada Parlimen akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai nahas tersebut.

Beliau telah turut mengingatkan bahawa Parlimen akan dilihat lalai dalam melaksanakan tugas seandainya sidang ditangguhkan tanpa sebarang keputusan mengenai peranan Ahli-ahli Parlimen dalam merungkai tragedi itu.

Misi pencarian kotak hitam pesawat tersebut kini disertai lapan negara, meliputi kawasan seluas 86,000 batu persegi, sejauh 1,000 batu Barat-Barat Laut Perth, di Australia Barat.

Laporan terbaru CNN mengatakan hayat bateri kotak hitam MH370 mungkin lebih singkat daripada yang dijangka memandangkan penghantar isyaratnya belum pernah ditukar sejak 2012. – Roketkini.com