Berita

Insinerator Bukit Nanas: Timbalan Menteri berbohong?

KUALA LUMPUR, 5 APR: Ahli Parlimen DAP Serdang Ong Kiang Ming menggesa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar agar mendedahkan maklumat terperinci berhubung tahap bahan kimia berbahaya yang dikeluarkan insinerator Bukit Nanas, Negeri Sembilan.

Beliau turut mempersoalkan jawapan Timbalan Menteri Datuk James Dawos Mamit yang bercanggah dengan laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Dalam jawapan ketika perbahasan di Parlimen, Timbalan Menteri menyatakan penyukatan tahap dioksin dalam sisa berbahaya di insinerator Bukit Nanas diambil sebulan sekali.

“Selepas saya memaklumkan bahawa menurut laporan EIA dan garis panduan EIA, penyukatan tahap dioksin di tapak insinerator hanya diambil setahun sekali, beliau hanya menjawab yang jawapannya berdasarkan pengalaman melalui insinerator Kuching.

“Adakah beliau cuba berbohong dalam jawapannya itu?” katanya.

Beliau memetik Laporan Kelestarian Tahunan 2011 dan 2012 yang dikeluarkan UEM-Enviro, pemilik Kuali Alam Sdn Bhd yang menguruskan insinerator itu.

Halaman 75 laporan tahun 2012 menyatakan stesen pemerhati yang mengawasi kandungan yang keluar daripada insinerator ‘merekodkan beberapa bahan bergas berbahaya termasuk dioksin dan furan, yang mungkin disebabkan pembakaran sisa.

Menurutnya, laporan tahunan 2011 dan 2012 itu juga tidak menerbitkan penyukatan kadar dioksin dan furan.

“Dengan kata lain, bukan sahaja tahap dioksin dan furan tidak disukat setiap bulan di insinerator terbesar di Semenanjung Malaysia itu, malah ia juga tidak diterbitkan walau sekali pun dalam laporan yang dikeluarkan syarikat yang menguruskannya,” katanya.

Justeru itu, Kian Ming turut, katanya lagi, beliau mempersoalkan tahap penguatkuasaan yang menjadi tanggungjawab Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Adakah ini bermakna JAS, yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak menjalankan tugas penguatkuasaan dengan baik? Jika begitu, bagaiamana kita boleh yakin mereka akan menguakuasakan standard kualiti udara bagi insinerator Taman Beringin di Kepong nanti?” soal beliau.

DAP menentang keras cadangan pembinaan insinerator di Kepong, antaranya kerana projek itu akan mencemarkan alam sekitar di kawasan berpenduduk, selain ia diberikan kepada syarikat yang tidak berpengalaman secara rundingan terus. – Roketkini.com