Berita

Jabatan Peguam Negara mahu bunuh kerjaya politik Karpal

KUALA LUMPUR, 5 APR: DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Jabatan Peguam Negara yang memfailkan rayuan balas kepada Mahkamah Rayuan agar hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh.

Malah, tindakan itu dengan jelas adalah satu percubaan untuk membunuh karier politik beliau itu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pada 3 Mac lalu, Karpal menerima salinan notis rayuan daripada pendakwa raya yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat kepadanya.

“DAP mengecam keras tindakan Jabatan Peguam Negara yang meminta hukuman lebih keras dikenakan kepada Karpal. Percubaan untuk memenjarakan Karpal dengan apa sahaja cara itu jelas bermotif politik untuk menamatkan karier politik beliau.

Beliau juga mengutuk tindakan pendakwa raya yang mengugut Mahkamah Tinggi agar mengenakan hukuman lebih berat, kononnya bagi menghormati institusi diraja.

“Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin telah meminta hukuman pencegahan (deterrent sentence), malah mengugut Mahkamah Tinggi dengan mengatakan kegagalan menjatuhkan hukuman berat adalah tidak menghormati sistem beraja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim Guan Eng bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri keputusan kes Karpal di Mahkamah 11 Mac lalu.

Lim Guan Eng bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri keputusan kes Karpal di Mahkamah 11 Mac lalu.

“DAP akan memberi solidariti penuh kepada Karpal, dan saya akan mencadangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) 7 April ini agar mengekalkan jawatan Pengerusi Kebangsaan kepada beliau, sehingga rayuan selesai,” katanya lagi.

Pada 29 Mac lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meletakkan jawatannya bagi mematuhi peruntukan Akta Persatuan 1966, yang menyatakan individu yang dihukum denda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun dilarang memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar.

Beliau dijatuhkan hukuman denda RM4,000 di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya kerana memberikan pandangan daripada sudut undang-undang berhubung rampasan kuasa BN ke atas kerajaan Pakatan Perak pada 2009.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mendesak Peguam Negara menggugurkan rayuan balas itu, bagi menunjukkan komitmen terhadap hak asasi manusia, keadilan dan kebebasan bersuara.

“International Commission of Jurist (ICJ), Majlis Peguam Malaysia dan Lawyers for Liberty telah mengecam kerajaan yang menggunakan akta lapuk dan zalim itu.

“Di saat imej dan reputasi Malaysia terjejas teruk ekoran isu MH370 dan penculikan di Semporna, hukuman terhadap Karpal hanya akan lebih menjejaskan imej negara,” katanya lagi. – Roketkini.com