Berita

Tepati janji PRU, kerajaan Selangor perlu tolak lebuhraya KIDEX

KUALA LUMPUR, 7 APR: Kerajaan Selangor perlu menghalang projek pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) daripada diteruskan, sejajar dengan dasar Pakatan Rakyat untuk menghapuskan tol, kata Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo.

Menurut beliau, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menolak projek itu dan ia mesti melakukan apa sahaja bagi memenuhi janji kepada rakyat Selangor dalam manifesto Pilihanraya Umum lalu.

“Walaupun saya setuju bahawa kita perlu mencari penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di negeri ini, selaku Ahli Parlimen saya perlu suarakan bantahan terbuka saya terhadap KIDEX.

“Ia adalah lebuhraya bertol yang jelas bertentangan dengan Manifesto Rakyat Pakatan Rakyat 2013. Maka, sangat sukar untuk memahami bagaimana Menteri Besar boleh bersetuju dengannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut manifesto PRU 13, Pakatan menyatakan komitmen untuk menghapuskan tol dan mengambil-alih lebuhraya secara berperingkat.

Pada 29 Mac lalu, Persatuan Penduduk Petaling Jaya dan Jawatankuasa Pro Tem ‘Say No to KIDEX’ menghantar memorandum kepada Abdul Khalid bagi menyuarakan bantahan terhadap pembinaan lebuhraya itu.

“Saya menyeru Abdul Khalid agar memberi maklum balas kepada memorandum itu. Salah satu hujah mereka adalah ia bertentangan dengan janji Pakatan.

“Janji yang dibuat ketika pilihanraya adalah asas kepada mandat yang diberikan kepada kerajaan. Ia perlu dihormati dan dipenuhi.

“Abdul Khalid perlu melakukan apa sahaja di bawah kuasanya untuk menghentikan projek ini untuk memberikan keyakinan kepada mereka yang mengundi untuk menolak tol pada pilihanraya lalu bahawa Pakatan tidak akan mengecewakan mereka,” katanya lagi.

Kidex adalah projek lebuhraya bertingkat sepanjang 14.9 kilometer bernilai RM2.42 juta oleh kerajaan pusat dan dianugerahkan kepada Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang mempunyai kaitan dengan peguam Umno Datuk Hafarizam Harun dan isteri bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi. – Roketkini.com