Berita

10 juta Red Bean Army: Lagi tuduhan mengarut terhadap DAP

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Tuduhan bahawa DAP merancang merekrut 10 juta ‘cybertrooper’ Red Bean Army (RBA) dan membayar mereka RM3,000 setiap seorang untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sama sekali tidak masuk akal.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia bukan saja tidak benar malah UMNO-BN dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bawah mereka sebenarnya yang melahirkan “cybertrooper paling gila di dunia” untuk menyerang lawan politik mereka.

“Hanya orang gila paling gila saja yang akan percaya dan menerima tuduhan mengarut itu.

“DAP tidak mempunyai ‘RBA’ dan kami tidak membayar satu sen pun untuk mana-mana ‘cybertrooper’,” tegas Kit Siang.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu berkata demikian sebagai respons kepada cybertrooper dan NGO UMNO-BN minggu lalu yang mendakwa DAP merancang untuk merekrut 10 juta ‘cybertrooper’ RBA menjelang PRU14.

NGO terbabit adalah Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Ihsan Muslim Malaysia serta Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dan diketuai oleh Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah.

Menurut Kit Siang, jika dihitung berdasarkan dakwaan NGO terbabit, DAP perlu mengeluarkan belanja bulanan sebanyak RM2.4 juta atau RM115.2 juta setahun untuk membiayai RBA yang menurut mereka dianggotai oleh 800 ‘cybertrooper’ dan dibayar RM3,000 setiap seorang, bererti peruntukan tahunan untuk membiayai 10 juta ‘cybertrooper’ ialah RM360 bilion setahun.

“Sungguh mengejutkan, individu yang mendakwa dirinya memimpin NGO boleh menjadi hilang akal dan gila sehingga sanggup percaya bahawa DAP bukan saja mempunyai 800 ‘cybertrooper’ RBA tetapi mahu merekrut 10 juta lagi pada PRU 14 nanti dengan peruntukan tahunan RM360 bilion,” ujar beliau. – Roketkini.com