Berita

Laksana segera dasar gaji minima, turunkan hutang isi rumah

KUALA LUMPUR, 7 APR: DAP menggesa kerajaan agar melaksanakan dasar gaji minima yang dikemukakan Pakatan Rakyat bagi mengurangkan kadar hutang isi rumah di Malaysia.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, hutang isi rumah bersama dengan kemerosotan mutu pendidikan mengancam ekonomi besar dan mampu menghalang Malaysia daripada menjadi negara maju.

“Hutang isi rumah tinggi akan menjejaskan mutu kehidupan dan pendidikan anak-anak adalah perkara pertama yang akan terjejas apabila kesempitan ekonomi melanda. Tambahan pula, peningkatan pendapatan kita tidak cukup untuk menyediakan peningkatan kualiti kehidupan yang setimpal.

“Maka, DAP mencadangkan gaji minima RM1,100 beserta tempoh 5 tahun untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia dan pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi dengan melindungi PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pelaksanaan dasar itu mestilah mengutamakan majikan dan pekerja tempatan, sebelum dilaksanakan kepada semua, termasuk pekerja asing.

“Dasar gaji minima Pakatan boleh diterima PKS asalkan ia tidak merangkumi pekerja asing. Setelah tempoh tangguhan 5 tahun, PKS harus membayar gaji minima kepada semua pekerja, sama ada asing atau tempatan.

“Tambahan, Malaysia rugi apabila pekerja asing hanya menghantar balik kebanyakan gaji mereka. Jumlahnya berganda, daripada RM10 bilion pada 2009 kepada hampir RM20 bilion tahun lepas, dan dijangka akan meningkat lagi apabila gaji minima dilaksanakan ke atas mereka.

“Maka majikan dan pekerja tempatan harus dijaga dengan memastikan pekerja menikmati gaji minima yang lebih tinggi, iaitu RM1,100 sebulan, dan dengan memberi PKS satu tempoh bertenang selama 5 tahun agar mereka dapat menyesuaikan diri sebelum membayarnya kepada pekerja asing,” katanya lagi.

Peningkatan gaji tidak setara dengan produktiviti

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, kesatuan-kesatuan buruh menyatakan pada dekad terakhir, keluaran meningkat sebanyak 6.7 peratus setiap tahun namun upah sebenar (real wages) hanya meningkat 2.6 peratus.

“Keadaan dalam industri pembuatan lebih mencemaskan apabila upah sebenar dalam industri berorientasikan eksport hanya meningkat 1.9 peratus sementara industri berorientasikan tempatan meningkat 1.4 peratus selepas 1997,” ujarnya.

“Peningkatan harga barang seperti gula, petrol, tarif elektrik dan premium insurans motor oleh kerajaan BN tahun lepas menegaskan lagi hakikat bahawa gaji tidak dapat mengatasi inflasi,” jelas beliau lagi.

Malaysia mencatat hutang isi rumah tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia, dengan peningkatan kepada 86.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 daripada 81.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Dasar gaji minima adalah dasar yang terus diperjuangkan Pakatan Rakyat saban tahun dalam belanjawan alternatif dan manisfestonya. – Roketkini.com