Berita

150 orang hadir malam memperingati MH370

KUALA LUMPUR, 8 APR: Lebih 150 orang dari pelbagai kaum telah menyertai acara memperingati dan mendoakan kesejahteraan penumpang serta anak kapal MH370 yang dianjurkan oleh DAP di Dataran Merdeka semalam.

Genap tiga puluh hari yang lalu, pada 8 Mac, pesawat MH370 hilang dari radar dan sehingga hari ini masih belum ada petunjuk utuh tentang keberadaannya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang turut hadir semalam menyifatkan tiga puluh hari yang lalu sebagai bulan paling sukar dan lama bagi seluruh dunia, berikutan misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum menampakkan apa-apa petunjuk.

“Ini adalah tempoh sebulan paling lama bagi keluarga terlibat, juga kepada Malaysia dan seluruh dunia. Kita berkumpul di sini untuk memanjatkan doa, serta menunjukkan solidariti kepada keluarga yang sedang berdukacita,” ucap beliau dalam keadaan sugul tengah malam semalam.

Turut hadir dalam acara itu kawan rapat juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, Peter Chong, yang menyebut bahawa sokongan rakyat Malaysia sangat penting bagi membantu keluarga dan rakan yang terkesan secara langsung dengan insiden itu.

“Saya harap kita rakyat Malaysia bangkit dan pastikan tragedi ini tidak berulang. Kita tidak mahu mencari ‘kambing hitam’ (bagi menutup kesalahan),” ujar beliau yang juga ahli PKR Cabang Subang, merujuk kepada rakannya yang cuba dipersalahkan pelbagai pihak dengan diberikan gambaran buruk sebagai pengganas dan fanatik politik oleh media tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Lim Guan Eng menyatakan harapan agar siasatan yang sedang berlangsung dapat mencari kebenaran berhubung apa yang terjadi.

“Kita di sini untuk menyampaikan harapan dan ingatan. Kita berharap akan ada pengakhiran bagi peristiwa ini dan yang paling penting, kebenaran tentang apa yang berlaku.

“Kerana itulah cara terbaik untuk kita mengenang dan menghormati penumpang dan keluarga mereka. Semoga kebenaran akan diketahui akhirnya,” katanya lagi.

Termasuk dalam hadirin acara itu ialah pimpinan tertinggi dan Ahli-ahli Parlimen DAP, antaranya Timbalan Pengerusi Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Teresa Kok Suh Sim, Charles Santiago (Klang) dan Er Teck Hwa (Bakri).

Selain di Dataran Merdeka, acara memperingati MH370 turut diadakan di beberapa lokasi lain seluruh negara. – Roketkini.com