Berita

Pencerobohan makin serius di perairan Sabah, ESSCOM terbukti gagal

KUALA LUMPUR, 8 APR: DAP sekali lagi menggesa supaya Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dibubarkan kerana kegagalannya mengawal keselamatan di negeri itu.

Ahli Parlimen DAP Sandakan Stephen Wong Tien Fatt berkata, insiden terbaru penculikan dua wanita dari China dan Filipina di Pulau Singamata, Semporna, merupakan petunjuk jelas bagaimana ESSCOM langsung tidak mempunyai sebarang fungsi.

“ESSCOM telah ditubuhkan April tahun lalu bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan Pantai Timur Sabah susulan pencerobohan pengganas Sulu, Februari sebelum itu.

“Malangnya di tahun sama, pelbagai kejadian berlaku seperti sembilan nelayan diculik di Pulau Mabul pada 27 Ogos. Tiga bulan kemudian seorang warga Taiwan ditembak mati dan isterinya diculik di Pulau Pom Pom dan terbaru di Pulau Singamata.

“Saya amat kesal dan terkejut bahawa walaupun diberi peruntukan RM200 juta, disuntik tambahan RM75 juta dalam Bajet 2014 dan RM11 juta untuk baik pulih 65 pos keselamatan, namun tidak ada sebarang perubahan berlaku. Jika berterusan begini, saya cadang ia ditutup saja,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu juga mengecam Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek yang menyatakan badan itu tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan keselamatan dan hanya bertindak sebagai penyelaras sahaja.

“Saya tertanya-tanya setelah diberi peruntukan jutaan ringgit mengapa ia tidak mempunyai fungsi dan kuasa? Bukankah peranan mereka menjaga perairan Sabah?

“Apakah ESSCOM dan menteri berwajib ke atasnya mahu lari daripada tanggungjawab? Pembunuhan dan penculikan ini dengan kata lain telah menjejaskan industri pelancongan.

“Masalah ini harus diakui dan dibincangkan untuk ditambah baik bagi membina semula imej Sabah yang semakin hari semakin terjejas teruk akibat kawalan longgar ESSCOM,” ujarnya. – Roketkini.com