Berita

Lawatan ‘kerja’ Kementerian Pendidikan: 3 jam urusan rasmi, 10 jam main golf

KUALA LUMPUR, 9 APR: DAP hari ini mengkritik ‘percutian golf lima hari’ Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi kementerian itu di Dubai atas nama lawatan kerja.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong membangkitkan hal itu berdasarkan pendedahan dokumen jadual atur cara lawatan itu dalam sebuah blog.

“Menurut dokumen yang bocor di blog peniupwisel2020.blogspot.com, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan sedang menikmati percutian golf lima hari di Dubai dengan menggunakan wang pembayar cukai,” kata Zairil dalam sidang media di Parlimen.

Menurut dokumen itu, Muhyiddin dan rombongan ke Dubai menaiki ‘pesawat khas’ dan menginap di hotel bertaraf lima bintang Shangri-La Dubai.

Dokumen itu juga menunjukkan Muhyiddin hanya dijadualkan terlibat dalam program rasmi selama tiga jam, bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari hari ini, antaranya untuk menghadiri majlis perasmian Gulf Education and Training Exhibition (GETEX) 2014, bertemu dengan Menteri Pendidikan UAE Humaid Mohammed al-Qatami dan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) berhubung pengajian tinggi.

“Selepas itu, beliau bertolak ke Kelab Golf Montgomerie, disusuli makan malam atas kapal layar. Hari-hari seterusnya diisi dengan ‘program peribadi’, makan malam tidak rasmi dengan tokoh perniagaan dan warga Malaysia serta golf.

“Dengan kata lain, beliau akan habiskan lima hari di Dubai hanya untuk tiga jam program rasmi berkaitan pendidikan. Banyak soalan yang perlu dijawab, khususnya jika ia menggunakan dana awam,” ujar Zairil.

Menurut dokumen itu juga, turut menyertai lawatan adalah isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Steven Sim mendesak Jabatan Audit Negera agar segera menyiasat lawatan itu, serta lawatan lain yang disertai Muhyiddin sebelum ini, memandangkan mutu pendidikan negara semakin merosot walaupun Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan dana yang besar.

“Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2014. Namun pencapaian pelajar sangat teruk, termasuk dalam penilaian antarabangsa seperti TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Students Assesment).

“Tiada siapa menafikan pendidikan adalah bidang yang perlu diberi perhatian termasuk dari segi dana. Namun ia perlu dibelanjakan untuk program yang mampu tingkatkan pencapaian pelajar, bukannya percutian mewah untuk menteri main golf,” katanya.

Dalam Belanjawan 2014, kerajaan memperuntukkan RM54.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan. -Roketkini.com