Berita

Esscom lawak ‘April Fool’ yang amat mahal dan merugikan – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 9 APR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai jenaka ‘April Fool’ memandangkan Esscom tidak memiliki apa-apa kuasa walaupun menelan perbelanjaan yang amat besar.

“Esscom adalah lawak ‘April Fool’ yang amat mahal dan merugikan,” ujar beliau.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut, dalam ucapan ulangtahun pertama badan itu pada 1 April lalu, Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek mengatakan ia berjaya mencegah cubaan orang luar untuk memasuki Sabah, namun dalam masa 24 jam setelah itu, berlaku penculikan dua wanita di Semporna.

Esscom mula beroperasi 1 April 2013 berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dua bulan sebelumnya.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Kit Siang mendesak kerajaan sama ada memansuhkan atau memberi kuasa kepada Esscom agar ia tidak menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ di bawah Barisan Nasional.

“Saya setuju bahawa ia patut dimansuhkan jika kita tidak bersedia untuk membetulkan (peranannya). Kuasa penuh perlu diberikan segera kepada Esscom untuk memberi arahan,” katanya lagi.

Mohammad Mentek dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut bahawa badan itu hanya bertindak sebagai penyelaras dan tidak memiliki kuasa memberi arahan keselamatan.

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Wong Sze Phin turut mendesak hal yang sama, selain agar ditingkatkan kekuatan tentera di sana.

Menurut beliau, ancaman terbesar terhadap kedaulatan negara datang dari Laut Sulu, bukan Laut China Selatan atau Selat Melaka.

“Dalam sepuluh tahun ini, pencerobohan kebanyakannya di timur Sabah atau Laut Sulu,” ujarnya.

Mengulas kenyataan bahawa Esscom tidak mempunyai kuasa mengarahkan Tentera Laut dan Udara di negeri itu serta ketiadaan pasukan tentera yang ditempatkan di sana, beliau menggesa supaya kerajaan segera memberikan kuasa lebih besar kepada Esscom.

“Maka, saya menggesa kerajaan dengan segera memberikan kuasa arahan tertingi ke atas tentera darat, laut dan udara kepada Esscom, serta memindahkan aset ke sana, agar ia dapat mengambil tindakan wajar jika kes kecemasan berlaku,” saran Sze Phin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP Sandakan Stephen Wong mengkritik kegagalan kerajaan pusat menjamin keselamatan Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Jangan sesekali lupa, keselamatan Sabah dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan suruhanjaya Cobbold. Namun sudah banyak kali kerajaan pusat gagal untuk melaksanakannya,” katanya. – Roketkini.com