Berita

Tony Pua dihalang berucap dalam program bersama mahasiswa Australia

KUALA LUMPUR, 9 APR: Penaja-penaja Persidangan Malaysia Summit Australia (MASA) 2014 menghalang Tony Pua daripada berucap di program tersebut kerana khuatir ia tidakselari dengan kepentingan beberapa pihak.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu melahirkan rasa kecewanya di laman Facebook rasmi beliau, namun tidak menyalahkan pihak penganjur dari kalangan persatuan pelajar Malaysia di sana.

“Jelas sekali penaja-penaja dari pihak kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mahu menutup minda pelajar-pelajar kita.

“Mereka begitu takut dengan kehadiran pemimpin pembangkang untuk hanya satu jam dalam program yang berlangsung sepanjang empat hari,” katanya dalam perkongsian di laman sosial terbabit.

Tidak terusik dengan halangan terbabit, Tony tetap akan berada di Melbourne dalam tempoh program tersebut dan akan mengadakan forum awam di sana pada 23 April nanti.

Oktober tahun lalu, pelajar-pelajar Malaysia di Australia telah dihalang daripada menyertai program yang menampilkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam email bertarikh 14 Oktober 2013 yang dihantar oleh penasihat pelajar Jabatan Perkhidmatan Awam Shahrezan Md Sheriff kepada penerima biasiswa JPA, pelajar-pelajar ‘dinasihatkan’ supaya tidak menghadiri program Festival of Ideas, Adelaide, jika tidak mahu dikenakan sebarang ‘tindakan tegas’.

Antara penaja persidangan MASA yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 24 April di Melbourne itu adalah Kelab UMNO Australia. – Roketkini.com