Berita

Polis tidak mahu pegawai SPRM di pejabat mereka?

KUALA LUMPUR, 9 APR: Bukan sahaja menolak cadangan Suruhanjaya Diraja untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), agensi penguatkuasa tersebut nampaknya turut berjaya mengelak daripada dipantau pegawai pencegah rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dalam jawapannya kepada Parlimen memberitahu bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditempatkan di agensi-agensi kerajaan kecuali di PDRM kerana badan tersebut membunyai jabatan integriti tersendiri.

Menurut beliau, sehingga 6 Mac lalu, 20 pegawai SPRM telah ditempatkan di agensi-agensi kerajaan bagi membendung rasuah sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

Mempertikaikan kenyataan tersebut dalam sidang media di Lobi Parlimen, Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng menimbulkan persoalan sama ada pihak polis tidak boleh disentuh langsung.

“Adakah pihak polis begitu berkuasa? Adakah tidak ada pihak lain yang boleh ‘menyentuh’ pihak polis kecuali anggota polis sendiri?” soalnya.

Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Tun Dzaiddin Abdullah pada Mei 2006 lalu mencadangkan pembentukan IPCMC bagi menyiasat salah laku dan masalah rasuah di kalangan anggota polis, malangnya cadangan tersebut dibantah oleh PDRM.

“Sekarang pula sekali lagi pihak polis telah enggan menempatkan pegawai SPRM di jabatan mereka. Jadi soalan saya sekarang kepada kerajaan, adakah polis begitu berkuasa, siapa yang boleh menyiasat rasuah polis?” ujar Lip Eng.

Lip Eng turut disertai Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur Thomas Su yang mengecam keputusan membiarkan pihak polis sendiri menguruskan hal ehwal integriti anggotanya yang disifatkan sebagai satu keputusan yang salah.

Menurut beliau, ini dibuktikan apabila indeks persepsi rasuah Transparency International (TI) pada tahun 2013 sendiri menunjukkan bahawa pasukan polis dilihat sebagai agensi kerajaan paling korup.

Kedua-dua ahli parlimen DAP tersebut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan kerajaan untuk tidak meletakkan pegawai SPRM di agensi tersebut meskipun kajian TI yang melibatkan 2,000 responden tahun lalu menunjukkan 12% daripadanya pernah mengalami keadaan rasuah melibatkan anggota polis.

Menteri tersebut yang merupakan bekas presiden TI-Malaysia digesa untuk menjelaskan keputusan kerajaan terbabit. – Roketkini.com