Berita

Kerajaan digesa hentikan pembangunan komersial untuk tangani krisis air

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan digesa agar menunjukkan kesungguhan untuk mengatasi krisis air dengan menghentikan pembangunan komersial di kawasan tadahan air.

Menurut Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago, langkah lebih utuh untuk mengatasi krisis air diperlukan, terutamanya menghentikan pembangunan komersial di kawasan tadahan air perlu dan menggerakkan usaha penuaian air hujan.

“Kawasan tadahan perlu diwartakan segera. Kedua-dua kerajaan (Selangor dan Persekutuan) tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya lagi. Undang-undang dan peraturan mesti digubal untuk menyokong penuaian air hujan sebagai satu keutamaan memandangkan kita mungkin menghadapi kemarau antara Jun hingga September tahun ini.

“Air yang dituai boleh digunakan untuk aktiviti kurang penting seperti mencuci pakaian dan membasuh kereta. Ia boleh menjimatkan sehingga 70 peratus penggunaan air di rumah.

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen PAS Shah Alam media bersama Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli, Charles mengkritik langkah pencatuan air sebagai satu jalan pintas yang tidak menunjukkan sebarang kesan baik yang jelas.

“Selepas sebulan catuan air, kerajaan hanya berjaya menyelamatkan nominal sebanyak 7 peratus.

“Selangor dan Kerajaan Persekutuan termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) serta Suruhanjaya Perhidmatan Air Negara (SPAN) jelas telah mengambil pendekatan malas. Ini menonjolkan keupayaan perancangan yang lemah, ujar Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu.

Menurut beliau, pencatuan telah menyebabkan banyak anggota masyarakat, termasuk wanita hamil, warga tua dan lainnya terpaksa menghadapi kesulitan untuk mendapatkan air hampir setiap hari.

Selain dua langkah yang disarankan di atas, ketiga-tiga Ahli Parlimen terbabit juga mengemukakan pendekatan mendidik pengguna tentang penggunaan air yang cekap sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan krisis.

“Berdasarkan satu kajian yang dilakukan pada 2003, isi rumah di Malaysia menggunakan 500 liter air sehari berbanding 155 liter di Singapura dan 90 liter di Thailand.

“Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada syor Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu iaitu 200 liter sehari,” ujarnya. -Roketkini.com