Berita

MH370: Kerajaan ingkar janji beri taklimat

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Ahli Parlimen DAP Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini menyelar tindakan kerajaan yang mengingkari janji untuk mengadakan taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dan menolak pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk menangani krisis MH370.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan bukti nyata bahawa kerajaan sememangnya tidak serius dan mahu negara terus terpalit dengan tanggapan buruk rakyat dan masyarakat antarabangsa.

“Walaupun jaminan telah berkali-kali diberikan Hishammuddin dan Shahidan di dalam mahupun di luar Parlimen untuk mengatur majlis taklimat kepada kami, kedua-duanya kini tidak mengotakan janji itu.

“Selama ini memang saya tidak yakin bahawa Hishammuddin sanggup memberikan taklimat berkenaan bencana MH370 dan kini tidak terkejut apabila janji itu dimungkiri.

“Sememangnya sudah menjadi ciri khas kerajaan Najib memungkiri janji mewujudkan tadbir urus yang telus dan baik,” katanya.

Menurut Ketua Parlimen DAP itu lagi, banyak pihak menganggap pengumuman Hishammuddin Sabtu lalu berhubung penubuhan pasukan penyiasat dan jawatankuasa melibatkan tiga kementerian untuk menyiasat kehilangan MH370, tanpa menyebut tentang penubuhan PSC, sebagai tindakan mengelak dari memikul tanggungjawab di Parlimen.

Ahli Parlimen DAP Seremban Anthony Loke Siew Fook turut mempertikaikan keengganan kerajaan memberikan taklimat tanpa sebarang alasan munsabah.

“Sebelum ini mereka kata kami tidak boleh hadir taklimat sebab tidak beri surat. Tapi bila surat diberi, taklimat pula tidak mahu dilakukan.

“Sekarang mereka bagi alasan tunggu siasatan jawatankuasa menteri selesai, kemudian suruh kami memahami masalah yang berlaku, tetapi persoalannya mengapa mereka tidak mahu beri kerjasama?

Beliau menganggap bahawa kerajaan sememangnya sejak awal tidak mahu memberi taklimat kepada Ahli Parlimen PR dan menyatakan rasa terkilan kerana kerajaan langsung tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk menubuhkan PSC. -Roketkini.com