Berita

Ahli Parlimen Pakatan bawa anak tuntut kerajaan tambah pusat jagaan

KUALA LUMPUR, 10 APR: Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat semalam membawa bayi masing-masing ke Parlimen sebagai langkah simbolik menuntut kerajaan menambahkan pusat jagaan anak di sektor awam dan swasta yang terlalu sedikit jumlahnya pada masa ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen DAP Tanjong Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya Wong Chen.

Dalam sidang media di Parlimen, Nie Ching mendesak kerajaan menubuhkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di jabatan kerajaan, serta menekankan hal sama kepada sektor swasta, jika masing-masing serius ingin mencapai sasaran 55 peratus tenaga kerja wanita pada tahun 2015.

Katanya, pusat jagaan yang baik adalah pelaburan jangka panjang yang dapat memberi sokongan kepada wanita untuk bekerja, seterusnya meningkatkan kecekapan pasaran kerja.

“Penjagaan anak adalah faktor penting bagi wanita untuk menyelaraskan kerjaya profesional dan tanggungjawab keluarga. Ini sangat penting bagi penyertaan wanita dalam ekonomi negara, kerana mereka biasanya memikul sebahagian besar tanggungjawab mengasuh anak,” katanya lagi.

Namun, katanya lagi, menurut Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, hanya 7 peratus badan kerajaan memiliki pusat jagaan pada tahun 2013.

“Portal rasmi kerajaan Malaysia menyatakan ada 1378 badan kerajaan di Malaysia. Ada 80 pusat jagaan pada tahun 2012, dan meningkat sedikit kepada 99 pada tahun 2013. Pada kadar ini, kita perlukan paling kurang 50 tahun untuk melihat setiap agensi memiliki pusat jagaan sendiri,” katanya.

Setakat ini, hanya ada 16 pusat penjagaan di hospital kerajaan, institut pengajian tinggi (26),  pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (1), kementerian (18) dan agensi di bawah kementerian (32).

Kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu lagi, kekurangan itu menyebabkan penyertaan tenaga kerja wanita negara jauh ketinggalan berbanding negara serantau lain.

“Walaupun kita melahirkan lebih banyak graduan wanita berbanding lelaki beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan tenaga kerja wanita sangat rendah. Pada tahun 1995, penyertaan adalah 44.7 peratus dan sehingga tahun 2012 ia hanya meningkat dengan sangat sedikit, iaitu kepada 48 peratus.

“Ia sangat jelas berbeza dengan negara jiran seperti Thailand (71 peratus), Singapura (63 peratus)  dan Brunei (60 peratus),” katanya lagi.

Justeru itu, katanya lagi, sangat penting bagi kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada usaha yang dapat meningkatkan tenaga kerja wanita yang pasti akan meningkatkan ekonomi negara.

Pada 27 November 2012, beliau membawa anak sulungnya, Jinger, yang ketika itu berusia empat bulan bagi menuntut kerajaan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di Parlimen.

Semalam, beliau membawa anak keduanya, Eger, berusia 2 bulan, namun masih belum ada kemudahan seumpama itu di Parlimen. – Roketkini.com